Monday, May 10, 2010

Orientasi Ting 6 R/2010




Pagi ini, 10 Mei 2010 (Isnin) SMK Tengku Aris Bendahara (SMKTAB) menerima kemasukan sejumlah 54 orang pelajar lepasan SPM 2009 yang melapor diri bagi meneruskan pengajian pasca menengah, atau lebih tepat prauniversiti. Sama ada jumlahnya akan kekal atau berubah, bergantunglah kepada perancangan kumpulan pelajar 18 tahun berkenaan. Pengajian Tingkatan Enam yang menjurus kepada penganugerahan STPM boleh dilihat sebagai pilihan untuk merebut tempat di IPTA bagi kursus sarjana muda.

Rata-rata pelajar yang ditemui masih belum membuat keputusan muktamad sama ada untuk kekal di SMKTAB, atau memilih jalan lain. Ada yang sudah mengintai peluang pekerjaan sambil mencongak peluang pengajian tinggi secara sambilan. Ada juga yang masih mengharap panggilan dari institusi pengajian lain seperti matrikulasi (simpanan), kursus diploma IPTA, politeknik, IKM, IKBN, kolej (universiti) swasta dan sebagainya.

Program orientasi atau suai kenal yang dianjurkan oleh pihak sekolah, dengan kerjasama Persatuan MPPPU akan merungkai beberapa persoalan, di samping memberi input sebagai pedoman untuk pelajar membuat keputusan. Pada selasa, pelajar akan didedahkan dengan sukatan pelajaran dan kemahiran generik pembelajaran aras tinggi. Pada hari Jumaat, pelajar akan mula masuk kelas untuk melengkapkan butiran diri dalam rekod daftar sekolah.

Tempoh sebulan boleh dijadikan sebagai "window shopping" sebelum sebarang keputusan muktamad ditetapkan. Guru tingkatan 6 SMKTAB sedia membantu pelajar merealisasikan impian kecemerlangan mereka seperti yang tercatat sebagai rekod pencapaian cemerlang STPM sebelum ini. Dengan penambahbaikan skim perkhidmatan guru dan gaya pembelajaran tingkatan 6, daya tarikan STPM dijangka menjadi lebih hebat.

Tingkatan 6 ditadbirkan secara berasingan daripada pelajar menengah rendah (tingkatan 1 - 3), dan menengah atas (4 - 5). SMKTAB mempunyai seorang Penolong Kanan Tingkatan 6, di samping beberapa orang guru akademik tingkatan enam. Kemudahan teknologi p & p, dan pusat sumber khusus untuk tingkatan 6 dijangka akan dinaik taraf dalam tempoh yang terdekat.

Kebanyakan tokoh cendekiawan, pemimpin negara, pegawai tinggi kerajaan, pensyarah kanan (termasuk profesor), diplomat, tokoh korporat dan swasta pernah melalui sistem tingkatan 6. Maka, tanggapan bahawa tingkatan 6 sebagai pilihan terakhir sama sekali meleset. Hakikatnya ialah pengajian tingkatan enam menjadi laluan utama memasuki kursus-kursus penting di peringkat pengajian tinggi.

Selamat belajar. SMKTAB mengalu-alukan kehadiran anda!

No comments:

Post a Comment