Sunday, November 20, 2011

Suka duka kehidupan...

10.11 2011 ..
Ya Allah…Terasa penat sangat hari ni. Saya baru sampai dari kedah pagi ini dan terus ke sekolah untuk menyaksikan Majlis Graduasi Pra-U 2 2011. Memang saya sangat penat ditambah lagi dengan cuaca yang panas. Selesai sahaja Majlis Graduasi saya jadi tidak sabar untuk bergegas ke bilik guru.

“Kak Ana…Kak Ana dapat pindah”
Antara percaya dan tidak percaya. “ Yerke ni…Umi tipulah…xkan kot” “yer..betul, kalau akak xcayer..akak g cek kat laptop saya. Alhamdulillah ..akhirnya…Pertukaran saya ke Kedah diluluskan. Maaf Umi…bukan akak tidak percaya pada umi, tapi memang akak tidak percaya langsung akak boleh pindah akhirnya.
Saya mengukir senyuman. Tidak manis tetapi pahit.Pahit lantaran bakal berlakunya perpisahan.Sesungguhnya inilah keputusan yang telah saya tunggu selama 4 tahun kebelakangan ini. Ya Allah…apa perasaan saya tika ini. Rasa seperti mimpi. Gembira tapi dalam masa yang sama sedih sangat kerana terpaksa meninggalkan tempat yang banyak member kenangan pahit manis selama hampir 8 tahun saya berada di sini. .
Benar, sudah terlalu lama saya di sini. Hampir 8 tahun. Tentu sahaja ada insan-insan yang mencari dan tentu sahaja ada insan-insan yang dirindui dan merindui.

Minggu ini adalah minggu terakhir saya bersama rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar SMKTAB.Itu bermakna saya bakal berpisah dengan dengan mereka semua.Saya termenung seketika..

18.11.2011
Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di SMKTAB.Saat itu ucapan maaf dilafaz, ucapan sayang diucap dan pelbagai ucapan salam perpisahan diucapkan. Semua itu diluah dalam dakapan kasih sayang yang tidak tergambar sayunya.
"Mesti akak RINDU ana nanti" Itulah kata- kata Kak Juju ketika itu yg cukup membuatkan hati saya sayu dan pilu ketika kami bersalaman dan berpelukan. Saya telah sedaya upaya menahan air jernih bergenang di kelopak mata, tapi saya tidak mampu.Saya cuba untuk berlagak seperti biasa kerana saya tidak mahu pemergian saya ditangisi sedangkan yang sebetulnya hati saya sedang merana.Ya Allah..sebaknya perasaan saya ketika itu.Saya cuba menahan air mata tetapi saya tidak mampu.

Teringat perpisahan pada tahun 2010 dahulu. Apabila rakan baik saya selama 7 tahun akan berpindah ke Ipoh. Rasa separuh jiwa saya pergi. Saya tidak boleh bayangkan rakan baik saya ketika saya susah dan senang akan pergi meninggalkan saya. Ya Allah..peritnya jiwa saya pada ketika itu. Sakitnya perpisahan sehingga sedu-sedan saya tidak berakhir. Sayu dan pilu.Kak Goi Wai Mun masih saya ingat, masih saya kenang dan masih saya rindui.

Kini hampir ke penghujung tahun 2011...Saya perlu menghadapi perpisahan yang sama.Sekali lagi, dengan perasaan berat saya terpaksa berpisah dan meninggalkan tempat di mana saya mula menjadi guru yang sebenar.Ada air mata tapi tiada sedu sedan kerana saya sudah belajar dari perpisahan yang sebelum ini .Dakapan demi dakapan erat dari rakan-rakan dan pelajar-pelajar memang amat menyentuh jiwa dan perasaan.Sayu dan pilu.

8 tahun saya berada di bumi Johor adalah satu tempoh yang lama saya berjauhan dengan keluarga tersayang.Antara sebab saya bertahan kerana Allah pertemukan saya dengan begitu ramai orang-orang yang baik: Kepada rakan-rakan guru SMKTAB. Sampai disini saja kita bertemu. Ada sebak dan ada juga rasa terkilan...Kerana mereka juga kawan-kawan yang baik, kawan-kawan yang prihatin,kawan-kawan yang penyayang dan kawan-kawan yang tahu erti menghormati.

Pada pelajar-pelajar saya berpesan: "Gunakan ilmu yang ada dengan amanah dan sebaik-baiknya" Walaupun dimana saya berada saya tetap mendoakan yang terbaik buat mereka. Cuma pada kali ini saya berada jauh dari mereka. Saya tidak dapat meluangkan banyak masa tatkala mereka sedang menghadapi saat-saat akhir sebelum STPM 2011 bermula.

Setiap tahun saya berganti anak didik saya..Mereka hadir dalam hidup saya bagai suria di pagi hari.Ceria dan penuh kasih sayang.Saya tidak punya apa-apa untuk mereka melainkan kata-kata semangat dan nasihat untuk mereka meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu dan berjaya suatu hari nanti.Saya tidak kisah jika mereka ingin berbicara panjang dengan saya.Tidak saya marah jika mereka ingin bergurau dan menyakat saya.Saya juga tidak punya masalah jika mereka ingin mengadu apa jua hal kepada saya.Malah saya juga tidak menafikan saya seringkali menjadi orang tengah untuk mereka menyampaikan apa yang terbuku di hati mereka.Cumanya, jika mereka sedar bahawa dalam bicara saya seringkali ada nasihat dan jika mereka fahami bahawa dalam gurauan saya seringkali ada perkara yang ingin saya peringatkan.Kerana HIKMAH ITU ADALAH SEGALANYA.Baru lahir kasih sayang dan baru ada rasa ingin menghormati.Saya ingin mereka belajar bahawa menjadi yang paling tua tidak bererti kita perlu mendominasi, kita perlu ego, kita juga perlu memaksa yang muda mendengar kata kita dan seterusnya menghormati kita. Sebenarnya menjadi yang paling tua itu menyandang tanggungjawab yang amat besar iaitu untuk mendidik dan menjadi contoh terbaik untuk yang muda. KITA TIDAK AKAN DIHORMATI DAN DIKASIHI MELAINKAN KITA MENGHORMATI DAN MENGASIHI ORANG LAIN Terus terang saya katakan,bukan mudah menjadi seorang guru kepada berpuluh (atau mungkin beratus)untuk anak-anak didik saya.. Saya sangat sayang dan mengasihani mereka kerana tidak sempurna Iman kita kalau kita tidak mengasihani orang lain seperti mana kita mengasihani diri sendiri.

Akhir kata,kepada rakan-rakan, pelajar-pelajar,dan bekas pelajar saya ketahuilah.."SAYA SAYANG SEMUANYA" Terima kasih di atas doa anda semua yang mengharapkan saya gembira di tempat baru nanti..Inshaallah, saya juga sentiasa doakan yang terbaik buat kalian semua.Salam perpisahan dan salam kemaafan saya pinta seandainya terdapat keterlanjuran kata dan kekasaran bahasa sepanjang mengenali saya.Sesungguhnya saya juga manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Inshaallah..saya berjanji pada diri supaya lebih baik lagi...menjadi orang yang lebih baik lagi.Semoga Allah jinakkan hati saya....semoga saya dijauhkan dari penyakit-penyakit hati...seperti benci, dengki, riak, bongkak, pemarah, dendam dan semoga Allah anugerahkan ketenangan di dalam diri kita semua....Surah al-Anfal: 63
Maksudnya: Jika kamu membelanjakan seluruh yang ada di permukaan bumi ini, nescaya kamu tidak akan dapat menjinakkan hati manusia. Tetapi Allahlah yang menjinakkan hati antara hati-hati mereka.

Setiap bermula pasti ada akhirnya.Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setiap kegembiraan pasti ada kedukaan..Tetapi saya redha kerana saya percaya takdir Allah itu indah.

Friday, August 5, 2011

2.08.2004...7 Tahun sudah berlalu..

2.08.2004 saya ditempatkan di SMKTAB Kluang.Alhamdulillah genap 7 tahun saya menjadi seorang pendidik.Terima kasih pada kawan-kawan yang selama ini menyokong & memberi nasihat.Pengalaman mengajar erti hidup.Walaupun dimana kita ditempatkan,yang penting semangat untuk memajukan anak bangsa. Bagi saya, tugas seorang pendidik bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajar tetapi dalam masa yang sama mendidik pelajar-pelajar membentuk perkembangan sahsiah diri.

Memang sejak di bangku sekolah lagi,saya cukup kagum dan minat kerjaya dalam bidang perguruan. Melihat kesungguhan dan ketekunan guru-guru mendidik pelajar-pelajar tanpa pernah rasa jemu dalam diri mereka membuatkan saya menanam azam dalam diri bahawa suatu hari nanti, saya juga akan bergelar seorang pendidik.Saya berpendapat bahawa kerjaya seorang seorang pendidik ini satu tugas yang mulia kerana mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Amat penting untuk seorang pendidik itu menjiwai tugas yang dipertanggungjawabkan agar segala ilmu berbekas kepada pelajar-pelajar.

Memang banyak pengalaman yang saya lalui sepanjang 7 tahun menjadi seorang pendidik. Namun saya menganggapnya sebagai cabaran dalam dunia pendidikan. Sebagai seorang pendidik saya tidak dapat lari daripada menghadapi pelabagai karenah pelajar yang lemah dalam pelajaran juga pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Dua tahun lalu saya bertanggungjawab mengajar subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan ianya amat mencabar bagi saya apatah lagi terpaksa mengajar di kelas-kelas yang mempunyai pelajar-pelajar yang nakal, lemah dalam pelajaran serta tidak berminat untuk belajar. Inilah cabaran besar yang terpaksa dilalui oleh seorang guru setiap kali mengajar di dalam kelas yang bermasalah. Selain itu, saya juga turut terlibat dengan tugas perkeranian.Berbanding tugas mendidik pada zaman dahulu, zaman sekarang tugas mengajar lebih mencabar. Maka sebab itulah seorang guru perlu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum mengajar di dalam kelas. Saya juga tak sekuat mana, tapi kawan-kawan yg soleh membantu saya mendapat kekuatan. Itupun rakan-rakan soleh itu pada saya 'hadiah' dari Allah pada saya. Saya bersyukur dapat bertemu dengan rakan-rakan seperti mereka yang banyak mewarnai hidup saya, yang sanggup bersama saya ketika susah dan senang.

Saya teringat kata-kata seorang pelajar saya.Marah!!!!!Pernah saya diberitahu oleh salah seorang pelajar saya. "Cikgu Mariana tak pernah marah, susah nak tengok cikgu marah" Saya hanya mampu tersenyum dan berkata "marah tidak dapat menjanjikan apa-apa... memaafkan adalah jalan terbaik sebelum ia menjadi dendam.. saya halalkan semua ilmu saya kepada awak semua dan saya memaafkan awak semua.Saya juga mengharapkan perkara yang sama daripada awak semua..." Tipulah kalau saya katakan saya langsung tidak mempunyai sifat marah. Kalau boleh saya cuba untuk menjadi orang yang menahan marah. Allah, saya cuba dan cuba Ya Allah dan setelah dekat dengan Quran memang ianya turut reda.Apa itu menahan amarah? Iaitu bila kita rasa nak meletup...bila rasa nak marah sangat,at that point of time...WAKTU ITULAH kita Tahan dan sabar..bukan lepas..tapi sebelum, - ITULAH KEMENANGANNYA..Itulah orang yang bertaqwa... Dan tidak mungkin kita dapat kekuatan sekiranya kita tidak dekat dengan Quran... Quran itu melembutkan hati... Orang-Orang yang keras jiwanya dan hatinya, mampu dijinakkan dengan Quran tetapi kita harus benar-benar berserah dan menghadap Quran dengan penuh rendah hati dan kejujuran...."(iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan":134



Jika ditanya apakah peristiwa sedih yang tidak dapat saya lupakan sepanjang 7 tahun saya di bidang perguruan. Peristiwa ketika saya menjadi guru tingkatan 4 tahun lepas.Sewaktu saya mengutip yuran peperiksaan SPM. Semua pelajar sudah menjelaskan yuran tersebut kecuali seorang pelajar lelaki ini.Pelbagai cara telah digunakan tetapi dia masih tidak mahu menjelaskan, kadang-kadang dia tidak datang ke sekolah untuk mengelak dari berjumpa dengan saya.Akhirnya setelah pelbagai cara dilakukan,saya nekad untuk menghubungi ibu bapanya.Jika benar dia menghadapi masalah kewangan saya akan membantu untuk mendahulukan duit saya. Apabila saya bercakap dengan si ayah di telefon, alangkah terkejutnya saya..kerana si ayah telah lama memberikan yuran tersebut tetapi si anak telah meggunakan wang pemberian ayahnya untuk tujuan lain dan bukannya membayar yuran SPM.. ini benar-benar membuatkan saya terduduk dan sedih, terlalu hiba rasanya... Saya teringat kisah kakak saya yang juga merupakan seorang guru. Pengalamannya hampir sama dengan pegalaman saya. Seorang ibu datang ke sekolah untuk membayar yuran kerana tidak percayakan anaknya, kerana sebelum ini yuran tersebut telah diberikan kepada anaknya tetapi anaknya menggunakan untuk tujuan lain. Masyaallah..saya hampir menangis mendengar kisah ini. Si ibu datang ke sekolah dengan basikal untuk menjelaskan yuran , di pertengahan jalan rantai basikal putus. Habis baju dan tudung si ibu kotor dengan minyak rantai basikal. Sungguh 'hebat' anak-anak ini.... Tidakkah sedikit atau sekelumit perasaan anak-anak ini memikirkan bagaimana susahnya ibu dan bapa mereka mencari rezeki untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga... Saya berharap semoga peristiwa sebegini tidak akan terjadi lagi dan semoga anak ini mendapat keampunan daripada ibu bapa mereka... Insaf betul saya...Di saat ini saya terbayangkan kedua ibu bapa saya..Terlalu banyak jasa mereka kepada saya..Mak, abah ...Ampunilah dosa anakmu ini..Tatkala kita melakukan kesilapan dan dosa....(yang pasti semua kan lakukan) baik besar atau kecil. Kemudian, kita INGAT pada Allah! Kita berhenti! Kita minta maaf...kita minta ampun , kita MENYESAL...baik dalam hati sekalipun.... kerana Allah Maha Mengetahui segala isi hati.... Maka kita TINGGALKAN atau kita berjanji pada diri, mahu berubah.... Allah AKAN AMPUNKAN... dan balasannya ialah "syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal didalamnya...":136

Tanpa sedar 7 tahun masa berlalu. Jka ditanya kenangan manis sebagai pendidik sudah tentulah melihat kejayaan pelajar-pelajar merupakan momen paling indah dalam hidup saya. Terasa hilang penat lelah apabila melihat pelajar-pelajar didikan saya mengecap kejayaan dalam pelajaran dan karier masing-masing.Harapan dan doa saya sudah tentulah mahu melihat pelajar-pelajar saya berjaya di dunia dan di akhirat.Ameen...

Saturday, May 14, 2011

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara


Esok Hari Guru. Sempena hari penuh bermakna kepada para guru ini, ingin saya menyingkap kembali betapa besar jasa dan kasih sayang guru sewaktu saya di peringkat tadika/prasekolah, di peringkat sekolah rendah (terlampau banyak sekolah,) di hujung tahun 1980-an dahulu dan tak lupa sewaktu aku diperingkat remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Panglima Besar.Menitis air mata apabila terkenang kembali zaman persekolahan.Sesungguhnya zaman persekolahan adalah kenangan yang paling berharga dalam hidup saya kerana saya telah dididik sehingga berjaya berkat dari usaha semua guru-guru yang pernah mengajar saya, sehingga saya berjaya menggenggam segulung ijazah. TERIMA KASIH CIKGU.

Profesion perguruan bukan mainan. Bukan semua orang mampu atau layak untuk melaksanakan dengan penuh berwibawa kerana bidang yang diceburi ini menjanjikan seribu satu macam cabaran dan ada kalanya itu sukar untuk diduga. Kata orang kalau takut dilambung ombak, jangan sekali-kali membuat rumah ditepi pantai.
Warga pendidik paling dihormati dalam masyarakat. Tanpa mereka mana mungkin kita semua dapat membaca dan menulis. Kalau tidak diajar mengira, mana mungkin kita boleh menghitung. Jadi orang bodohlah kita. Bagi saya, sekecil apa pun peranan guru, pasti mempunyai peranan besar terhadap kehidupan kita sekarang ini. Tetapi sayang masih banyak guru di negara kita yang terpinggir, tidak dipedulikan, tidak terjamah oleh kita yang tinggal di kota.

Guru boleh diibaratkan sebagai pahlawan tanpa tanda jasa. Mereka tidak pernah meminta jasa dibalas. Mereka tidak harap budi dikenang kerana matlamat mereka adalah mengajar dengan tulus daripada hati yang paling dalam hanya untuk mendidik anak bangsa.

Tujuannya melahirkan generasi bijak pandai yang dapat menjadi pemimpin masa depan. Hanya itu, tidak ada tujuan lain dan imbalan yang diharapkan. Datanglah hari guru saban tahun, saya percaya guru tidak mengharapkan anak murid membawakan hadiah. Tetapi kalau anak murid datang mengucapkan, “ Cikgu…Selamat Hari Guru,” itu sudah cukup membahagiakan guru.

Sempena hari guru esok, kalau ditanya, apakah hadiah yang paling bermakna untuk saya, jawapannya mudah sahaja. Kejayaan anak didik saya adalah kepuasan dan hadiah yang sangat berharga untuk dinilai biarpun dengan intan permata. Bagi saya hadiah paling istimewa untuk semua guru kita adalah doa. Doakan mereka beroleh keberkatan dan diampunkan dosa. Jika guru masih hidup doakan panjang umur, dimurahkan rezeki, dipelihara kesihatan dan dirahmati Allah SWT. Doakan mereka dalam setiap solat kita.

“Hakikikatnya, para guru bukanlah insan yang mengharapkan balasan. Cuma apa yang diperlukan dari pelajar mereka ialah perasaan kasih sayang serta rasa hormat yang tidak berbelah bahagi. Insyaallah, selagi hayat dikandung badan, saya akan cuba laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin untuk kebaikan di masa akan datang.

P/S: Memetik kata-kata Saidina Ali: “Barangsiapa yang mengajarkan aku walaupun satu ayat maka dialah guruku…”. Selamat Hari Guru buat semua guru yang pernah mengajar saya tanpa jemu.Tanpa guru siapalah saya...

Monday, February 21, 2011

KEPUTUSAN STPM 2010

Petikan akhbar harian metro

Akhirnya, keputusan STPM 2010 pun diumumkan. Keputusan STPM 2010 telah keluar jam 12 tengahari tadi dan pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut telah datang mengambil keputusan masing-masing bermula jam 12:00 tengahari,. Bekas murid saya datang ke sekolah dengan bermacam-macam perasaan. Ada yang hati berdebar-debar, muka pucat, menangis, tangan menggeletar sewaktu membuka slip keputusan dan pelbagai lagi perasaan yang sukar untuk saya gambarkan.

Mendapat keputusan ini, ada yang sedih dan ada yang gembira. Gembira kerana berjaya, gembira kerana mendapat keputusan cemerlang, gembira kerana mendapat keputusan lebih baik dari yang dijangka, gembira apabila keputusan lebih baik dari kawan sekelas, gembira kerana dapat buktikan kepada guru bahawa mereka boleh lulus, dan macam-macam jenis kegembiraan yang lain. Dan cikgu-cikgu sangat gembira apabila pelajar menangis kerana mendapat keputusan cemerlang.

Ada yang bersedih. Terutamanya apabila mereka menjangkakan boleh dapat keputusan yang lebih baik tetapi keputusan sebenar adalah sebaliknya. Mungkin keputusan yang mereka dapat tidak sama dengan apa yg mereka target. Contoh target CGPA 3.75 tetapi mereka dapat CGPA yang lebih bawah dari itu. Apa pun, saya doakan pelajar-pelajar ini memperoleh keputusan lebih cemerlang di universiti nanti. Ada pula pelajar yang tak lulus tapi tak nampak sedih langsung. Saya benar-benar sedih melihat mereka. Dan saya juga sedih apabila pelajar-pelajar yang selalu tidak hadir, tapi hari ni boleh hadir untuk ambil keputuan yang sudah tentunya mengecewakan semua guru. Namun, saya tetap doakan agar mereka semua berjaya dalam kehidupan.

Tahniah di ucapkan kepada semua pelajar yang telah lulus peperiksaan tersebut. Tahniah kepada Zakiah bt. Markam yang berjaya mendapat CGPA 3.83, Atikah bt. Abdullah yang memperoleh CGPA 3.67, Mohamad Bukhari bin Badrol Hisham, Siti Nurul Hidjah bt. Shahidan masing-masing memperoleh keputusan CGPA 3.50 dan jutaan tahniah untuk semua bekas anak murid saya yang mendapat keputusan yang cemerlang..

Saya bersyukur, keseluruhannya sekolah saya mencapai keputusan 100% kelulusan minimum sekurang-kurangnya gred D, dan 98.55% kelulusan minimum sekurang-kurangnya gred C. Kerana terdapat seorang calon yang gagal mendapat sekurang-kurang gred minimum C. Keadaan ini telah dijangkakan kerana calon ini telah membuatkan semua guru-guru bimbang berikutan keputusan peperiksaan calon ini sebelum ini.Walau bagaimanapun, dari segi kualitinya untuk subjek Pengajian Perniagaan, tahun ini ada peningkatan. Bilangan murid yang mendapat A untuk mata pelajaran Pengajian Perniagaan amat memberangsangkan dimana seramai 6 org berjaya mendapat A dan 8 orang calon mendapat A-. Walaupun keputusan STPM PP 2010 meningkat namun, saya masih tidak berpuas hati kerana seorang pelajar tidak lulus sungguhpun 68 yang lain lulus. Sebagai seorang guru saya tidak boleh memandang bilangan yang cemerlang semata-mata. Insyaallah penambaihbaikan akan dilakukan secara berterusan untuk memastikan semua calon STPM yang akan datang lulus.

Sesungguhnya saya berasa amat terharu apabila beberapa orang bekas pelajar mengucapkan terima kasih kepada saya kerana keputusan PP mereka yang cemerlang. Bagi saya pencapaian mereka merupakan hasil usaha gigih mereka. Guru-guru hanya membantu dan bertindak sebagai pemudah cara. Tahniah dan syabas kepada anda semua semua. Berikut adalah diantara gambar-gambar yang sempat saya ambil sewaktu bekas pelajar saya mengambil keputusan peperiksaan STPM semalam. Semoga kejayaan mereka hari ini menjadi pendorong kepada calon-calon pelajar STPM yang akan datang.

Guru-guru sedang memberi nasihat dan motivasi kepada pelajar.
Pelajar cemerlang SMKTAB STPM 2010 (Zakiah Binti Markam = CGPA : 3.83)
Pelajar cemerlang SMKTAB STPM 2010 (Atikah Bt. Abdullah = CGPA : 3.67)
Antara salah seorang calon cemerlang STPM 2010 Mohd Fitri Bin Ishak
Wajah keriangan bekas ketua tingkatan 6 A1/2010, Choi Han Yeong

Thursday, February 17, 2011

ZAMAN PERSEKOLAHAN DAN ZAMAN UNIVERSITI

Assalamualaikum. Alhamdulillah..bersua kita lagi di tahun 2011.Nampaknya sudah beberapa bulan saya tak mengemaskini blog ini. Bukan bosan atau malas(ada lah sedikit). Tetapi saya tidak mempunyai cerita atau al-kisah nak dikongsi dengan anda semua. Rasa kagum pula bila melihat blog-blog orang lain yang sentiasa berupdate. Kali ini saya sudah mendapat ilham. Pada pos kali ini saya nak bercerita sedikit mengenai zaman persekolahan dan zaman universiti.

Selama 11 tahun saya berada di zaman persekolahan. Pejam celik, pejam celik sungguh cepat masa berlalu. Sebanyak mana duit kita ada, masa lampau tidak mungkin boleh dibeli. Kenangan kita semasa di zaman persekolahan tidak mungkin akan kembali. Kalau lah ada doraemon, saya rasa nak pinjam mesin masa dari dia. Saya nak kembali pada masa lampau. Tapi itu semua mustahilkan dan hanyalah angan semata-mata. Mana boleh doraemon wujud. Itu kan cerita kartun...Hehehe...:)

Waktu dulu-dulu semasa saya kecil, benda yang paling saya tak suka ialah pergi ke sekolah. Kenapa saya tak suka pergi ke sekolah? Sebab kena bangun awal pagi...kena buat keje sekolah.Kadang-kadang sampai xsempat nak siapkan kerja sekolah ..Yelah macam mana nak siap,kalau masa tu asyik main je (al-maklumlah masih kanak-kanak lagi masa tu) disamping nak jaga adik-adik yang masih kecil.....

Darjah 4 : SRB Mejar Jeneral Dato' Ibrahim, Kuching Sarawak

Apabila naik jer sekolah menengah perasaan tu dah lain.Rasa seronok jer nak pergi sekolah, kalau boleh hari-hari nak pergi sekolah....sebab dapat jumpa kawan-kawan dan paling best best dapat cikgu-cikgu yang sporting.Apa perbezaan sekolah rendah dan sekolah menengah? Pada pendapat saya, kalau kat sekolah rendah setiap minggu ada je kerja yang cikgu bagi, kat sekolah menengah bukan setiap minggu je... setiap hari pula tu. Tapi saya sedar, kerana kerja sekolah yang cikgu bagi tulah, saya berjaya berdiri sampai sekarang untuk mengejar cita-cita saya menjadi seorang guru.Terima kasih buat semua guru-guru yang pernah mengajar saya, tanpa kalian semua siapalah saya.

Tingkatan 5 Prinsip Akaun : SMK Tunku Panglima Besar, Kulim Kedah.

Teringat pula kata-kata yang saya sering beritahu kepada pelajar-pelajar saya.
"Alahh... sekarang ni awak xnaklah pergi sekolah. Tapi lepas STPM nanti, mesti awak akan rindu punya kat sekolah"
Apa yang saya cakap kepada pelajar saya itu adalah berdasarkan dari pengalaman saya. Sehingga hari ini saya amat merindui sangat-sangat zaman persekolahan. Teringat kenangan manis pahit saya bersama kawan-kawan dulu. Bila teringat kenangan lama, rasa nak ketawa ada, rasa sedih pun ada. Itulah penangan ketika berada di zaman persekolahan. Saya pasti diantara anda pasti dapat rasakan apa yg saya rasakan?

Mengimbas kembali ketika saya tamat Sijil Penilaian Malaysia pada tahun 1998,saya berasa sangat seronok kerana telah tamat zaman persekolahan. Zaman di mana saya membaca buku dan belajar untuk menjawab peperiksaan atau “belajar rajin-rajin untuk dapat kerja bagus” Dan pada masa itu saya dan semua pelajar lain pasti berimpian “Tidak sabar untuk manghabiskan persekolahan untuk ke Universiti”


Tahun Akhir : Fakulti Ekonomi & Pengurusan, Universiti Putra MAlaysia.

Mengimbas kembali zaman universiti, saya teringat kembali saat-saat manis pahit ketika belajar di universiti.Masa itu betul-betul membuat saya hidup berdikari kerana jauh dari keluarga. Saya mengambil masa yang lama untuk mebiasakan diri dengan kehidupan di universiti. Walaupun penat dan stress dengan jadual kuliah yang padat, assigmment yang banyak,tapi satu sahaja ingatan dari saya kalau boleh cuba elakkan buat kerja 'last minute', Memang saya akui, ada diantara student sekolah ke, universiti ke memang dah jadi rutin untuk buat kerja last minute. Memang dah jadi satu lumrah kehidupan seorang pelajar, tapi kalau boleh, cuba-cuba la buat kerja awal awal supaya tak kelam kabut masa nak hantar, tak payah nak stay up sampai jam 5 atau 6 pagi semata mata nak siapkan kerja.

Secara keseluruhannya, kehidupan di alam universiti adalah amat berbeza berbanding alam sekolah. Sudah tidak timbul isu dimarahi guru mahupun ibu bapa. Semuanya bergantung pada diri masing-masing. Disiplin dirilah menjadi kunci kejayaan setiap individu. Namun, yang paling penting, keredhaan-Nya perlulah dititkberatkan sebelum sebarang tindak tanduk diambil.

P/S : Masa tidak dapat diputar kembali.Seseorang pernah mengingatkan saya, "Sekarang kita berada di tahun 2011, kita tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan kita mesti sentiasa pandang ke depan.Buat semua yang masih berada di bangku sekolah atau di universiti, hargailah zaman belajar anda...:)Dan sudah semestinya peringatan untuk diri saya sendiri, saya akan menghargai zaman bekerja saya.