Saturday, May 14, 2011

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara


Esok Hari Guru. Sempena hari penuh bermakna kepada para guru ini, ingin saya menyingkap kembali betapa besar jasa dan kasih sayang guru sewaktu saya di peringkat tadika/prasekolah, di peringkat sekolah rendah (terlampau banyak sekolah,) di hujung tahun 1980-an dahulu dan tak lupa sewaktu aku diperingkat remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Panglima Besar.Menitis air mata apabila terkenang kembali zaman persekolahan.Sesungguhnya zaman persekolahan adalah kenangan yang paling berharga dalam hidup saya kerana saya telah dididik sehingga berjaya berkat dari usaha semua guru-guru yang pernah mengajar saya, sehingga saya berjaya menggenggam segulung ijazah. TERIMA KASIH CIKGU.

Profesion perguruan bukan mainan. Bukan semua orang mampu atau layak untuk melaksanakan dengan penuh berwibawa kerana bidang yang diceburi ini menjanjikan seribu satu macam cabaran dan ada kalanya itu sukar untuk diduga. Kata orang kalau takut dilambung ombak, jangan sekali-kali membuat rumah ditepi pantai.
Warga pendidik paling dihormati dalam masyarakat. Tanpa mereka mana mungkin kita semua dapat membaca dan menulis. Kalau tidak diajar mengira, mana mungkin kita boleh menghitung. Jadi orang bodohlah kita. Bagi saya, sekecil apa pun peranan guru, pasti mempunyai peranan besar terhadap kehidupan kita sekarang ini. Tetapi sayang masih banyak guru di negara kita yang terpinggir, tidak dipedulikan, tidak terjamah oleh kita yang tinggal di kota.

Guru boleh diibaratkan sebagai pahlawan tanpa tanda jasa. Mereka tidak pernah meminta jasa dibalas. Mereka tidak harap budi dikenang kerana matlamat mereka adalah mengajar dengan tulus daripada hati yang paling dalam hanya untuk mendidik anak bangsa.

Tujuannya melahirkan generasi bijak pandai yang dapat menjadi pemimpin masa depan. Hanya itu, tidak ada tujuan lain dan imbalan yang diharapkan. Datanglah hari guru saban tahun, saya percaya guru tidak mengharapkan anak murid membawakan hadiah. Tetapi kalau anak murid datang mengucapkan, “ Cikgu…Selamat Hari Guru,” itu sudah cukup membahagiakan guru.

Sempena hari guru esok, kalau ditanya, apakah hadiah yang paling bermakna untuk saya, jawapannya mudah sahaja. Kejayaan anak didik saya adalah kepuasan dan hadiah yang sangat berharga untuk dinilai biarpun dengan intan permata. Bagi saya hadiah paling istimewa untuk semua guru kita adalah doa. Doakan mereka beroleh keberkatan dan diampunkan dosa. Jika guru masih hidup doakan panjang umur, dimurahkan rezeki, dipelihara kesihatan dan dirahmati Allah SWT. Doakan mereka dalam setiap solat kita.

“Hakikikatnya, para guru bukanlah insan yang mengharapkan balasan. Cuma apa yang diperlukan dari pelajar mereka ialah perasaan kasih sayang serta rasa hormat yang tidak berbelah bahagi. Insyaallah, selagi hayat dikandung badan, saya akan cuba laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin untuk kebaikan di masa akan datang.

P/S: Memetik kata-kata Saidina Ali: “Barangsiapa yang mengajarkan aku walaupun satu ayat maka dialah guruku…”. Selamat Hari Guru buat semua guru yang pernah mengajar saya tanpa jemu.Tanpa guru siapalah saya...

Monday, February 21, 2011

KEPUTUSAN STPM 2010

Petikan akhbar harian metro

Akhirnya, keputusan STPM 2010 pun diumumkan. Keputusan STPM 2010 telah keluar jam 12 tengahari tadi dan pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut telah datang mengambil keputusan masing-masing bermula jam 12:00 tengahari,. Bekas murid saya datang ke sekolah dengan bermacam-macam perasaan. Ada yang hati berdebar-debar, muka pucat, menangis, tangan menggeletar sewaktu membuka slip keputusan dan pelbagai lagi perasaan yang sukar untuk saya gambarkan.

Mendapat keputusan ini, ada yang sedih dan ada yang gembira. Gembira kerana berjaya, gembira kerana mendapat keputusan cemerlang, gembira kerana mendapat keputusan lebih baik dari yang dijangka, gembira apabila keputusan lebih baik dari kawan sekelas, gembira kerana dapat buktikan kepada guru bahawa mereka boleh lulus, dan macam-macam jenis kegembiraan yang lain. Dan cikgu-cikgu sangat gembira apabila pelajar menangis kerana mendapat keputusan cemerlang.

Ada yang bersedih. Terutamanya apabila mereka menjangkakan boleh dapat keputusan yang lebih baik tetapi keputusan sebenar adalah sebaliknya. Mungkin keputusan yang mereka dapat tidak sama dengan apa yg mereka target. Contoh target CGPA 3.75 tetapi mereka dapat CGPA yang lebih bawah dari itu. Apa pun, saya doakan pelajar-pelajar ini memperoleh keputusan lebih cemerlang di universiti nanti. Ada pula pelajar yang tak lulus tapi tak nampak sedih langsung. Saya benar-benar sedih melihat mereka. Dan saya juga sedih apabila pelajar-pelajar yang selalu tidak hadir, tapi hari ni boleh hadir untuk ambil keputuan yang sudah tentunya mengecewakan semua guru. Namun, saya tetap doakan agar mereka semua berjaya dalam kehidupan.

Tahniah di ucapkan kepada semua pelajar yang telah lulus peperiksaan tersebut. Tahniah kepada Zakiah bt. Markam yang berjaya mendapat CGPA 3.83, Atikah bt. Abdullah yang memperoleh CGPA 3.67, Mohamad Bukhari bin Badrol Hisham, Siti Nurul Hidjah bt. Shahidan masing-masing memperoleh keputusan CGPA 3.50 dan jutaan tahniah untuk semua bekas anak murid saya yang mendapat keputusan yang cemerlang..

Saya bersyukur, keseluruhannya sekolah saya mencapai keputusan 100% kelulusan minimum sekurang-kurangnya gred D, dan 98.55% kelulusan minimum sekurang-kurangnya gred C. Kerana terdapat seorang calon yang gagal mendapat sekurang-kurang gred minimum C. Keadaan ini telah dijangkakan kerana calon ini telah membuatkan semua guru-guru bimbang berikutan keputusan peperiksaan calon ini sebelum ini.Walau bagaimanapun, dari segi kualitinya untuk subjek Pengajian Perniagaan, tahun ini ada peningkatan. Bilangan murid yang mendapat A untuk mata pelajaran Pengajian Perniagaan amat memberangsangkan dimana seramai 6 org berjaya mendapat A dan 8 orang calon mendapat A-. Walaupun keputusan STPM PP 2010 meningkat namun, saya masih tidak berpuas hati kerana seorang pelajar tidak lulus sungguhpun 68 yang lain lulus. Sebagai seorang guru saya tidak boleh memandang bilangan yang cemerlang semata-mata. Insyaallah penambaihbaikan akan dilakukan secara berterusan untuk memastikan semua calon STPM yang akan datang lulus.

Sesungguhnya saya berasa amat terharu apabila beberapa orang bekas pelajar mengucapkan terima kasih kepada saya kerana keputusan PP mereka yang cemerlang. Bagi saya pencapaian mereka merupakan hasil usaha gigih mereka. Guru-guru hanya membantu dan bertindak sebagai pemudah cara. Tahniah dan syabas kepada anda semua semua. Berikut adalah diantara gambar-gambar yang sempat saya ambil sewaktu bekas pelajar saya mengambil keputusan peperiksaan STPM semalam. Semoga kejayaan mereka hari ini menjadi pendorong kepada calon-calon pelajar STPM yang akan datang.

Guru-guru sedang memberi nasihat dan motivasi kepada pelajar.
Pelajar cemerlang SMKTAB STPM 2010 (Zakiah Binti Markam = CGPA : 3.83)
Pelajar cemerlang SMKTAB STPM 2010 (Atikah Bt. Abdullah = CGPA : 3.67)
Antara salah seorang calon cemerlang STPM 2010 Mohd Fitri Bin Ishak
Wajah keriangan bekas ketua tingkatan 6 A1/2010, Choi Han Yeong

Thursday, February 17, 2011

ZAMAN PERSEKOLAHAN DAN ZAMAN UNIVERSITI

Assalamualaikum. Alhamdulillah..bersua kita lagi di tahun 2011.Nampaknya sudah beberapa bulan saya tak mengemaskini blog ini. Bukan bosan atau malas(ada lah sedikit). Tetapi saya tidak mempunyai cerita atau al-kisah nak dikongsi dengan anda semua. Rasa kagum pula bila melihat blog-blog orang lain yang sentiasa berupdate. Kali ini saya sudah mendapat ilham. Pada pos kali ini saya nak bercerita sedikit mengenai zaman persekolahan dan zaman universiti.

Selama 11 tahun saya berada di zaman persekolahan. Pejam celik, pejam celik sungguh cepat masa berlalu. Sebanyak mana duit kita ada, masa lampau tidak mungkin boleh dibeli. Kenangan kita semasa di zaman persekolahan tidak mungkin akan kembali. Kalau lah ada doraemon, saya rasa nak pinjam mesin masa dari dia. Saya nak kembali pada masa lampau. Tapi itu semua mustahilkan dan hanyalah angan semata-mata. Mana boleh doraemon wujud. Itu kan cerita kartun...Hehehe...:)

Waktu dulu-dulu semasa saya kecil, benda yang paling saya tak suka ialah pergi ke sekolah. Kenapa saya tak suka pergi ke sekolah? Sebab kena bangun awal pagi...kena buat keje sekolah.Kadang-kadang sampai xsempat nak siapkan kerja sekolah ..Yelah macam mana nak siap,kalau masa tu asyik main je (al-maklumlah masih kanak-kanak lagi masa tu) disamping nak jaga adik-adik yang masih kecil.....

Darjah 4 : SRB Mejar Jeneral Dato' Ibrahim, Kuching Sarawak

Apabila naik jer sekolah menengah perasaan tu dah lain.Rasa seronok jer nak pergi sekolah, kalau boleh hari-hari nak pergi sekolah....sebab dapat jumpa kawan-kawan dan paling best best dapat cikgu-cikgu yang sporting.Apa perbezaan sekolah rendah dan sekolah menengah? Pada pendapat saya, kalau kat sekolah rendah setiap minggu ada je kerja yang cikgu bagi, kat sekolah menengah bukan setiap minggu je... setiap hari pula tu. Tapi saya sedar, kerana kerja sekolah yang cikgu bagi tulah, saya berjaya berdiri sampai sekarang untuk mengejar cita-cita saya menjadi seorang guru.Terima kasih buat semua guru-guru yang pernah mengajar saya, tanpa kalian semua siapalah saya.

Tingkatan 5 Prinsip Akaun : SMK Tunku Panglima Besar, Kulim Kedah.

Teringat pula kata-kata yang saya sering beritahu kepada pelajar-pelajar saya.
"Alahh... sekarang ni awak xnaklah pergi sekolah. Tapi lepas STPM nanti, mesti awak akan rindu punya kat sekolah"
Apa yang saya cakap kepada pelajar saya itu adalah berdasarkan dari pengalaman saya. Sehingga hari ini saya amat merindui sangat-sangat zaman persekolahan. Teringat kenangan manis pahit saya bersama kawan-kawan dulu. Bila teringat kenangan lama, rasa nak ketawa ada, rasa sedih pun ada. Itulah penangan ketika berada di zaman persekolahan. Saya pasti diantara anda pasti dapat rasakan apa yg saya rasakan?

Mengimbas kembali ketika saya tamat Sijil Penilaian Malaysia pada tahun 1998,saya berasa sangat seronok kerana telah tamat zaman persekolahan. Zaman di mana saya membaca buku dan belajar untuk menjawab peperiksaan atau “belajar rajin-rajin untuk dapat kerja bagus” Dan pada masa itu saya dan semua pelajar lain pasti berimpian “Tidak sabar untuk manghabiskan persekolahan untuk ke Universiti”


Tahun Akhir : Fakulti Ekonomi & Pengurusan, Universiti Putra MAlaysia.

Mengimbas kembali zaman universiti, saya teringat kembali saat-saat manis pahit ketika belajar di universiti.Masa itu betul-betul membuat saya hidup berdikari kerana jauh dari keluarga. Saya mengambil masa yang lama untuk mebiasakan diri dengan kehidupan di universiti. Walaupun penat dan stress dengan jadual kuliah yang padat, assigmment yang banyak,tapi satu sahaja ingatan dari saya kalau boleh cuba elakkan buat kerja 'last minute', Memang saya akui, ada diantara student sekolah ke, universiti ke memang dah jadi rutin untuk buat kerja last minute. Memang dah jadi satu lumrah kehidupan seorang pelajar, tapi kalau boleh, cuba-cuba la buat kerja awal awal supaya tak kelam kabut masa nak hantar, tak payah nak stay up sampai jam 5 atau 6 pagi semata mata nak siapkan kerja.

Secara keseluruhannya, kehidupan di alam universiti adalah amat berbeza berbanding alam sekolah. Sudah tidak timbul isu dimarahi guru mahupun ibu bapa. Semuanya bergantung pada diri masing-masing. Disiplin dirilah menjadi kunci kejayaan setiap individu. Namun, yang paling penting, keredhaan-Nya perlulah dititkberatkan sebelum sebarang tindak tanduk diambil.

P/S : Masa tidak dapat diputar kembali.Seseorang pernah mengingatkan saya, "Sekarang kita berada di tahun 2011, kita tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan kita mesti sentiasa pandang ke depan.Buat semua yang masih berada di bangku sekolah atau di universiti, hargailah zaman belajar anda...:)Dan sudah semestinya peringatan untuk diri saya sendiri, saya akan menghargai zaman bekerja saya.

Sunday, November 21, 2010

Pelajar dan STPM...Inilah Waktunya..

Semakin hari debaran untuk menghadapi peperiksaan itu semakin hampir. Semakin kuatlah degupan jantung para pelajar saya sekalian. Apa-apa yang berlaku dalam kehidupan mereka pasti dilihat dengan satu pandangan yang berbeza yakni semuanya pasti memberi kesan dalam persediaan STPM mereka. Inilah saat yang dinantikan oleh semua pelajar.

Perasaan tidak yakin atau berasa persediaan tidak cukup sememangnya sesuatu yang biasa. Perasaan gementar untuk menghadapi sesuatu yang sebegini besar kesannya dalam kehidupan pelajar seharusnya berlaku. Ingat lagi ketika pelajar semua mengambil peperiksaan UPSR dan PMR? Atau masih ingatkah pelajar peperiksaan SPM yang baru dua tahun berlalu itu? Dan bukankah perasaan gementar yang kini dihadapi turut meresap dalam jiwa pelajar?

Manusia sememangnya gementar menghadapi sesuatu yang baru.Memang kita sedia maklum betapa stressnya bila berdepan peperiksaan atau lebih tepatnya lagi, peperiksaan awam seperti STPM. Kekadang rasa nak give up, penat, tak tahan lama. Belajar dan terus belajar dengan sungguh-sungguh, tapi rasa nak give up tu masih terus tegar, kuat menggoda di minda sebab kita berdepan dengan sesuatu yang belum pasti. Jika anda sedang mengalami situasi di atas, itu tandanya fikiran negatif sedang menguasai diri anda.

Anda lupa apa impian anda dan anda dah tak ingat apa matlamat anda. Selain itu, anda kuat berusaha, tapi tak kuat seronokkan diri. Kesannya, anda jadi tertekan. Stamina mental anda menghilang, sebab minda anda jauh dari mengingat matlamat anda.

Mengimbas kembali ketika detik-detik saya menghadapi peperiksaan SPM tipulah jika saya katakan saya tidak stress, tidak gementar dan tidak takut langsung.Untuk kuat berdepan dengan semua situasi ini ketika menghadapi exam, saya beritahu diri saya sendiri biarlah saya kerja keras kali ni sebab saya akan bersuka ria bila exam tu dah habis. Jadi, kita balun hari ni,esok kita akan berhepi-hepi. Kita study betul-betul hari ni, nanti lepas paper habis, baru kita relaks betul-betul. Tidur ke, jenjalan ke, borak-borak ke, apa-apa sajalah yang kita mahu.

Sebenarnya, perkara yang hendak saya sampaikan ialah perasaan stress, takut atau gementar itu biasa sahaja dalam diri manusia ini. Sebagai manusia, pengalaman mengalami sesuatu itulah yang penting lalu berupaya menjadikan kita seorang individu yang lebih baik pada masa hadapan. Semakin banyak peperiksaan yang kita alami semakin yakin diri kita akan kemampuan diri untuk melakukan yang terbaik pula.Jadi, usah bimbang jika pelajar semua berasa gementar kerana perasaan itulah yang membuktikan bahawa anda semua manusia yang berani menghadapi cabaran baru dalam kehidupan anda.

Akhir kata, semoga berjaya buat semua pelajar-pelajar saya yang akan menduduki peperiksaan STPM 2010. Kami para guru di SMKTAB sentiasa mendoakan kejayaan anda semua...

Saturday, August 21, 2010

Selamat Menghadapi Peperiksaan Percubaan STPM 2010



Assalamulaikum WBT, Selamat Menghadapi Peperiksaaan Percubaan STPM 2010 kepada semua pelajar Tingkatan 6 Atas, SMK Tengku Aris Bendahara. Semoga usaha anda selama ini membuahkan hasil yang cemerlang.

Tips Hilang Rasa Gementar Dalam Peperiksaan

Di antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghilangkan perasaan bimbang dan takut di dalam menghadapi peperiksaan ialah :

1. Sembahyang lima waktu sehari semalam.
2. Membaca Surah al-Fatihah setiap hari.
3. Banyakkan bersalawat ke atas Nabi.
4. Banyakkan berdoa.

Selain itu, pelajar yang akan menduduki peperiksaan serta ibu bapa pelajar hendaklah sentiasa membaca Surah Yasin dan menunaikan solat hajat dua rakaat memohon agar Allah SWT memudahkan serta memberi bantuan ketika menjalani peperiksaan.

Friday, May 14, 2010

Suasana Majlis Penutup Minggu Suai Kenal Pelajar Pra U 1 Sesi 2010/2011

Tamat sudah Minggu Suaikenal Pelajar Pra U 1 sesi 2010/2011. Selamat memasuki kelas pada 18.05.2010. Belajarlah dengan tekun untuk memenuhi harapan menggunung keluarga anda.
Jutaan terima kasih kepada bekas pelajar SMKTAB Aizah, Siti Sarah, Azlan, Mohamad Rozi dan Norimah kerana sudi menghadirkan diri dalam sesi ”Dialog Bersama Pelajar Cemerlang”.Sekali lagi terima kasih yang tidah terhingga buat anda semua. Sesungguhnya anda semua telah berjaya membuka mata dan minda adik-adik anda untuk meneruskan pengajian di peringkat STPM. Tahniah dan syabas saya ucapkan. Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada semua barisan Exco Tertinggi MPP Pra U SMKTAB yang telah memberikan komitmen yang baik sepanjang minggu Suaikenal Pelajar Pra U 1 sesi 2010/2011.


Bermulanya Majlis Penutup Minggu Suai Kenal Pra u 1 Sesi 2010/2011


Inilah sebahagian pelajar-pelajar Pra U Sesi 2010/2011.
"Datang dengan harapan, pulang dengan kejayaan".



Tn. Hj. Wahid bin Hj. Abdullah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang aktiviti yang berlangsung sepanjang Minggu Suai Kenal Pra U 1 Sesi 2010/2011.


GPK TING 6 menyampaikan cenderamata kapada Tn. Hj. Wahid bin Hj. Abdullah sebagai tanda terima kasih daripada MPP Pra U.


Sesi dialog bersama bekas pelajar SMKTAB yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah dan bekas pelajar SMKTAB yang cemerlang di dalam peperiksaan STPM.Dari kiri Norimah (STPM 2009=CGPA 3.75), Siti Sarah (Bakal Graduan Bacelor Pentadbiran Perniagaan,UPM), Mohd Rozi bin Kasim(STPM 2009=CGPA 3.75), dan Aizah (Pelajar tahun Akhir Ijazah Sains Politik, UKM)


Persembahan Multimedia daripada bekas pelajar SMKTAB

Tuesday, May 11, 2010

Taklimat Pakej





Satu taklimat ringkas tentang pengenalan mata pelajaran pengajian am, pengajian perniagaan,ekonomi, bahasa melayu, sains sukan, sejarah, geografi, dan MUET untuk sejumlah 53 orang pelajar jurusan sastera SMKTAB telah disampaikan oleh ketua-ketua unit masing-masing. Setiap Ketua Unit diberi masa selama 20 minit untuk memperkenalkan, mempromosikan subjek masing-masing. Pelajar kelihatan tenang dan memberi respons yang menggalakkan.

Perkara paling penting yang ditekankan oleh setiap ketua unit ialah format kertas. Untuk mepelajari subjek Pengajian perniagaan, saya menyarankan konsep learning by doing, iaitu memberi tumpuan terhadap tertib iaitu fakta,huraian dan contoh. Pelajar mesti memberi tumpuan terhadap penerangan guru, justeru itulah cara yang paling cekap. Menerusi penerangan guru, sesuatu konsep dapat dikuasai dalam tempoh 10 minit, berbanding dengan pembelajaran seorang diri yang mungkin memerlukan dua hari untuk menguasai konsep yang sama.

Dari segi aplikasi tahap tinggi, ilmu pengajian perniagaan dapat membantu seseorang bekerja di sektor swasta, sebagai eksekutif dalam bidang pemasaran, kewangan, operasi, sumber manusia dan bidang fungsian yang lain di organisasi tempatan dan antarabangsa dalam industri perbankan, hartanah, pengeluaran,perdagangan, telekomunikasi dan sebagainya.selain itu seseorang boleh bekerja di sektor awam sebagai pengurus di jabatan kerajaan dan badan berkanun serta menjadi usahawan yang berwibawa.

Pengajian Pengajian Perniagaan STPM dibahagikan kepada dua, iaitu Pengajian Perniagaan 1 dan Pengajian perniagaan 2. Pengajian Perniagaan 1 meliputi tajuk :
1. PERNIAGAAN DAN PERSEKITARAN
2. FUNGSI PENGURUSAN
3. FUNGSI PERNIAGAAN
4. KEMAHIRAN PENGURUSAN
Manakala Pengajian Perniagaan 2 meliputi tajuk :
1.PERATURAN DAN KEPERLUAN PERNIAGAAN
2.KEUSAHAWANAN
3.KOPERASI DAN ORGANISASI BUKAN BERMOTIF UNTUNG
4.PERNIAGAAN ANTARABANGSA
5.ETIKA DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL
6.KEMAHIRAN KOMUNIKASI
Perhatikan beza kedua-duanya,kita sudah boleh menentukan perbezaannya.

Maka, mempelajari Pengajian Perniagaan bukanlah sesukar yang disangka! Syaratnya, dengar cakap cikgu, beri tumpuan, dan sentiasalah perbaharui komitmen. SMKTAB teman kecemerlangan anda!