Friday, May 14, 2010

Suasana Majlis Penutup Minggu Suai Kenal Pelajar Pra U 1 Sesi 2010/2011

Tamat sudah Minggu Suaikenal Pelajar Pra U 1 sesi 2010/2011. Selamat memasuki kelas pada 18.05.2010. Belajarlah dengan tekun untuk memenuhi harapan menggunung keluarga anda.
Jutaan terima kasih kepada bekas pelajar SMKTAB Aizah, Siti Sarah, Azlan, Mohamad Rozi dan Norimah kerana sudi menghadirkan diri dalam sesi ”Dialog Bersama Pelajar Cemerlang”.Sekali lagi terima kasih yang tidah terhingga buat anda semua. Sesungguhnya anda semua telah berjaya membuka mata dan minda adik-adik anda untuk meneruskan pengajian di peringkat STPM. Tahniah dan syabas saya ucapkan. Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada semua barisan Exco Tertinggi MPP Pra U SMKTAB yang telah memberikan komitmen yang baik sepanjang minggu Suaikenal Pelajar Pra U 1 sesi 2010/2011.


Bermulanya Majlis Penutup Minggu Suai Kenal Pra u 1 Sesi 2010/2011


Inilah sebahagian pelajar-pelajar Pra U Sesi 2010/2011.
"Datang dengan harapan, pulang dengan kejayaan".



Tn. Hj. Wahid bin Hj. Abdullah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang aktiviti yang berlangsung sepanjang Minggu Suai Kenal Pra U 1 Sesi 2010/2011.


GPK TING 6 menyampaikan cenderamata kapada Tn. Hj. Wahid bin Hj. Abdullah sebagai tanda terima kasih daripada MPP Pra U.


Sesi dialog bersama bekas pelajar SMKTAB yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah dan bekas pelajar SMKTAB yang cemerlang di dalam peperiksaan STPM.Dari kiri Norimah (STPM 2009=CGPA 3.75), Siti Sarah (Bakal Graduan Bacelor Pentadbiran Perniagaan,UPM), Mohd Rozi bin Kasim(STPM 2009=CGPA 3.75), dan Aizah (Pelajar tahun Akhir Ijazah Sains Politik, UKM)


Persembahan Multimedia daripada bekas pelajar SMKTAB

Tuesday, May 11, 2010

Taklimat Pakej





Satu taklimat ringkas tentang pengenalan mata pelajaran pengajian am, pengajian perniagaan,ekonomi, bahasa melayu, sains sukan, sejarah, geografi, dan MUET untuk sejumlah 53 orang pelajar jurusan sastera SMKTAB telah disampaikan oleh ketua-ketua unit masing-masing. Setiap Ketua Unit diberi masa selama 20 minit untuk memperkenalkan, mempromosikan subjek masing-masing. Pelajar kelihatan tenang dan memberi respons yang menggalakkan.

Perkara paling penting yang ditekankan oleh setiap ketua unit ialah format kertas. Untuk mepelajari subjek Pengajian perniagaan, saya menyarankan konsep learning by doing, iaitu memberi tumpuan terhadap tertib iaitu fakta,huraian dan contoh. Pelajar mesti memberi tumpuan terhadap penerangan guru, justeru itulah cara yang paling cekap. Menerusi penerangan guru, sesuatu konsep dapat dikuasai dalam tempoh 10 minit, berbanding dengan pembelajaran seorang diri yang mungkin memerlukan dua hari untuk menguasai konsep yang sama.

Dari segi aplikasi tahap tinggi, ilmu pengajian perniagaan dapat membantu seseorang bekerja di sektor swasta, sebagai eksekutif dalam bidang pemasaran, kewangan, operasi, sumber manusia dan bidang fungsian yang lain di organisasi tempatan dan antarabangsa dalam industri perbankan, hartanah, pengeluaran,perdagangan, telekomunikasi dan sebagainya.selain itu seseorang boleh bekerja di sektor awam sebagai pengurus di jabatan kerajaan dan badan berkanun serta menjadi usahawan yang berwibawa.

Pengajian Pengajian Perniagaan STPM dibahagikan kepada dua, iaitu Pengajian Perniagaan 1 dan Pengajian perniagaan 2. Pengajian Perniagaan 1 meliputi tajuk :
1. PERNIAGAAN DAN PERSEKITARAN
2. FUNGSI PENGURUSAN
3. FUNGSI PERNIAGAAN
4. KEMAHIRAN PENGURUSAN
Manakala Pengajian Perniagaan 2 meliputi tajuk :
1.PERATURAN DAN KEPERLUAN PERNIAGAAN
2.KEUSAHAWANAN
3.KOPERASI DAN ORGANISASI BUKAN BERMOTIF UNTUNG
4.PERNIAGAAN ANTARABANGSA
5.ETIKA DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL
6.KEMAHIRAN KOMUNIKASI
Perhatikan beza kedua-duanya,kita sudah boleh menentukan perbezaannya.

Maka, mempelajari Pengajian Perniagaan bukanlah sesukar yang disangka! Syaratnya, dengar cakap cikgu, beri tumpuan, dan sentiasalah perbaharui komitmen. SMKTAB teman kecemerlangan anda!

Monday, May 10, 2010

Orientasi Ting 6 R/2010




Pagi ini, 10 Mei 2010 (Isnin) SMK Tengku Aris Bendahara (SMKTAB) menerima kemasukan sejumlah 54 orang pelajar lepasan SPM 2009 yang melapor diri bagi meneruskan pengajian pasca menengah, atau lebih tepat prauniversiti. Sama ada jumlahnya akan kekal atau berubah, bergantunglah kepada perancangan kumpulan pelajar 18 tahun berkenaan. Pengajian Tingkatan Enam yang menjurus kepada penganugerahan STPM boleh dilihat sebagai pilihan untuk merebut tempat di IPTA bagi kursus sarjana muda.

Rata-rata pelajar yang ditemui masih belum membuat keputusan muktamad sama ada untuk kekal di SMKTAB, atau memilih jalan lain. Ada yang sudah mengintai peluang pekerjaan sambil mencongak peluang pengajian tinggi secara sambilan. Ada juga yang masih mengharap panggilan dari institusi pengajian lain seperti matrikulasi (simpanan), kursus diploma IPTA, politeknik, IKM, IKBN, kolej (universiti) swasta dan sebagainya.

Program orientasi atau suai kenal yang dianjurkan oleh pihak sekolah, dengan kerjasama Persatuan MPPPU akan merungkai beberapa persoalan, di samping memberi input sebagai pedoman untuk pelajar membuat keputusan. Pada selasa, pelajar akan didedahkan dengan sukatan pelajaran dan kemahiran generik pembelajaran aras tinggi. Pada hari Jumaat, pelajar akan mula masuk kelas untuk melengkapkan butiran diri dalam rekod daftar sekolah.

Tempoh sebulan boleh dijadikan sebagai "window shopping" sebelum sebarang keputusan muktamad ditetapkan. Guru tingkatan 6 SMKTAB sedia membantu pelajar merealisasikan impian kecemerlangan mereka seperti yang tercatat sebagai rekod pencapaian cemerlang STPM sebelum ini. Dengan penambahbaikan skim perkhidmatan guru dan gaya pembelajaran tingkatan 6, daya tarikan STPM dijangka menjadi lebih hebat.

Tingkatan 6 ditadbirkan secara berasingan daripada pelajar menengah rendah (tingkatan 1 - 3), dan menengah atas (4 - 5). SMKTAB mempunyai seorang Penolong Kanan Tingkatan 6, di samping beberapa orang guru akademik tingkatan enam. Kemudahan teknologi p & p, dan pusat sumber khusus untuk tingkatan 6 dijangka akan dinaik taraf dalam tempoh yang terdekat.

Kebanyakan tokoh cendekiawan, pemimpin negara, pegawai tinggi kerajaan, pensyarah kanan (termasuk profesor), diplomat, tokoh korporat dan swasta pernah melalui sistem tingkatan 6. Maka, tanggapan bahawa tingkatan 6 sebagai pilihan terakhir sama sekali meleset. Hakikatnya ialah pengajian tingkatan enam menjadi laluan utama memasuki kursus-kursus penting di peringkat pengajian tinggi.

Selamat belajar. SMKTAB mengalu-alukan kehadiran anda!

Sunday, April 25, 2010

Langkah-langkah Bijak Menjelang Peperiksaan

Persediaan menjelang peperiksaan lebih merupakan persediaan minda. Kaedah pembelajaran bukan lagi menjadi persoalan utama. Pelajar yang telah lama bersedia adalah pelajar yang beruntung manakala pelajar yang lalai hingga ke saat akhir adalah pelajar yang merugi.

Persediaan mental menjelang peperiksaan juga amat penting kerana turut mempengaruhi prestasi semasa peperiksaan. Persediaan mental ini tetap merupakan perjuangan para pelajar ke arah mengejar kejayaan cemerlang.

Pelbagai petua dan panduan perlu dipatuhi oleh pelajar untuk mencapai ke arah kejayaan ini.

1.Bertenang dan lapangkan fikiran, elakkan tekanan perasaan.

2.Membuat ulang-kaji bagi topik-topik yang difikirkan penting.

3.Tidur yang mencukupi. Ini bertujuan untuk memelihara tenaga yang secukupnya semasa hari peperiksaan.

4.Menjaga kesihatan diri supaya dapat mengelakkan daripada demam atau kemalangan. Badan yang tidak sihat akan menyebabkan otak kurang cekap.

5.Menjaga pemakanan dengan memakan makanan yang berkhasiat dan berzat. Hindari makanan yang boleh melemahkan tenaga dan melembapkan minda.

6.Bangun tidur awal pada setiap pagi.

7.Bagi pelajar Islam, perbanyakan sembahyang hajat.

8.Membaca nota-nota ringkas yang telah disediakan.

9.Mengadakan senaman kesihatan fizikal untuk mengeluarkan peluh.

10.Beriadah dan berekreasi di tempat-tempat yang sesuai. Udara yang bersih dan badan yang cergas akan menenangkan minda dan melapangkan fikiran.

11.Hindari sebarang masalah dengan sebarang pihak sama ada rakan, keluarga atau lebih-lebih lagi guru. Jangan bergaduh dengan rakan-rakan, atau bermusuhan dengan guru. Jangan menderhaka dengan ibu bapa dan jangan kurang ajar dengan guru.

12.Meminta doa dan restu ibu, bapa dan guru-guru.

13.Belajar pada waktu yang difikirkan sesuai.

14.Mengkaji bentuk-bentuk soalan peperiksaan dengan bantuan guru dan rakan-rakan.

15.Menjawab soalan yang sama seperti format peperiksaan sebenar.

16.Datang lebih awal ke dewan peperiksaan sebelum peperiksaan bermula. Ini membolehkan pelajar-pelajar sempat bertemu dan berbincang dengan rakan-rakan. Ini akan dapat mengurangkan ketegangan.

17.Menyediakan segala kelengkapan peperiksaan yang diperlukan sebelum menjelang hari peperiksaan.

18.Bersarapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan dengan sarapan yang berzat supaya tenaga fizikal dan minda cukup untuk menghadapi peperiksaan.

19.Datang ke tempat peperiksaan dengan kenderaan yang lebih selamat dan cepat. Jangan datang lewat. Ini hanya akan meresahkan pelajar dan menggugat kelancangan pemikiran pelajar.

20.Elakkan mengadakan perbincangan tentang topik-topik hangat atau kaedah menjawab sebelum dan selepas peperiksaan.

21.Meminta ibu bapa atau ahli keluarga yang terdekat menghantar pelajar ke tempat peperiksaan. Sokongan moral sebegini amatlah penting.

22.Mematuhi arahan peperiksaan yang telah ditetapkan.

23.Membaca setiap arahan yang terdapat pada setiap kertas soalan.

24.Menjawab soalan berpandukan soalan yang telah dipilih.

25.Meminta sesuatu keperluan peperiksaan daripada pengawas yang bertugas.

26.Jangan bercinta dengan kekasih atau buah hati menjelang peperiksaan. Ini akan melencungkan tenaga pemikiran dan tumpuan pelajar daripada matlamat asal iaitu untuk mencapai tahap kecemerlangan dalam peperiksaan. Lebih malang lagi sekiranya pelajar 'putus cinta' menjelang peperiksaan!

27.Memulakan peperiksaan dengan membaca Bismillah.

28.Menjawab soalan yang pelajar fikirkan mudah dan betul terlebih dahulu, jangan mengambil masa yang lama untuk satu-satu soalan yang sukar dijawab.

29.Pastikan pelajar menjawab semua soalan yang dikemukakan mengikut arahan yang dinyatakan.

30.Berserah kepada Allah dan yakin bahawa anda akan beroleh kejayaan selepas bekerja keras.

Saturday, April 3, 2010

Seksa sangat ker jadi cikgu?

Salam..…

Hari ni saya just nak share about this hot topic today kat Hot FM. Tangan memang gatal jer nak dial, berkongsi pendapat tapi malas aahh..dengar komen orang jer, dan buat alasan sendiri dalam blog..kan lebih besh gitu? At least ada gak topic untuk ditulis dan update blog kan?

SEKSA JADI CIKGU…

Kisah sebenarnya, dalam suratkhabar utama Malaysia hari ni, tajuk muka depan ialah “Seksa Jadi Cikgu” yang mana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan aduan NUTP, selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain. Dengan itu sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.

SAYA JUGA SEORANG CIKGU…
Bagi pendapat saya seorang cikgu sendiri, memang betul, sekarang ni bukan senang nak jadi seorang cikgu. Mungkin ada yang kata senang, kerja setengah hari, cuti banyak, masa kerja pun ada masa ruang sampai boleh buat direct selling jual tupperware, MLM, Insurans dan sebagainya tapi tak siapa yang nampak keseksaan kami..Bukan memilih bidang ni kerana tiada pilihan lain, tapi kerana minat, cuma ada juga bahagian dalam kerjaya ni, bukan fokus saya, tapi apakan daya demi tugas saya mesti lakukan… :)

CIKGU = MULTI PURPOSE…
Memang best kalau tugas kami ni hanya mengajar dalam kelas, tapi sedar xsedar, kami ni sememangnya multi purpose.. Kamilah cikgu yang memberi ilmu, jadi kerani menguruskan hal2 perkeranian, sediakan fail itu ini, jadi jururawat merawat pelajar yang sakit, jadi polis menyiasat kes-kes pelajar, menanda buku pelajar dsb. Kalau lah tugas semata-mata mengajar memang xda masalah, tapi waktu senggang kami di sekolah, kami cikgu ni sediakan rancangan pengajaran, sediakan modul, buat soalan, tanda kerja pelajar di samping melaksanakan tugas2 khas yang lain.


ALA CIKGU…KERJA MENGAJAR JE
Jadi cikgu ni, orang nampak mudah, tapi bila sekali masuk kelas, kami menggunakan seluruh minda dan tenaga kami, bercakap sambil berdiri, tambah pula melayani karenah pelajar yang pelbagai dengan jumlah yang ramai.. dan setiap kali sesi pembelajaran, ada misi dan objektif yang perlu kami laksanakan, bukan masuk mengajar semata. Kami mesti kreatif dalam pengajaran demi meningkatkan prestasi pelajar. Belum lagi dengan bebanan mengendalikan pelajar yang lembam, buta huruf, bermasalah, kurang minat dsb. Semuanya kami mencari penyelesaiannya sendiri.

CIKGU KAN KERJA SETENGAH HARI JER…
Kalau nak kata pasal pulang awal, kerja setengah hari, kerja kami bukan setakat jam 1tgh…Pernah saya sendiri dari jam 6.30 pagi ke sekolah, sampai balik ke rumah jam 9.30 malam… Lebih separuh hari di sekolah…Dengan aktiviti sukan kerana pada waktu itu saya selaku Ketua Rumah Sukan.

CIKGU BANYAK CUTI APA…
Dalam cuti, kami bukanlah cuti sepenuhnya.. Ada aja kerja yang kami buat sepanjang cuti.. Cuti sekolah hujung tahun pun, kami mesti menjadi pengawas untuk peperiksaan awam. Belum lagi dihantar kursus ke sana sini sewaktu cuti…

BEBAN TUGAS CIKGU LAIN-LAIN…
Apapun saya tahu, setiap sekolah ada beban kerja tersendiri. Sebab ada kawan saya yang mengajar di pedalaman katanya,dia relaks jer, mengajar tanpa pressure. Apapun saya terima semua seadanya dan saya hanya mampu berbuat setakat yang saya mampu sahaja. Kalau Jawatankuasa ada cadangan lebih baik untuk mengatasi ni, saya suka sangat.. :)

p/s: walau apa jua cabaran yang bakal dihadapi...kerja mesti diteruskan..:)

Thursday, March 4, 2010

TIPS PENGAJIAN PERNIAGAAN 2

Pengajian Perniagaan Kertas 2 mengandungi 6 bab yang sangat luas cakupannya. Bagaimanakah pelajar dapat menguasai kertas 2 ini dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang? Bab Keusahawanan merupakan bab yang sangat penting. Sekiranya pelajar dapat menguasai bab yang satu ini, peluang sangat cerah untuk lulus dengan mudah. Dalam Bahagian A, soalan no.2 iaitu soalan yang wajib dijawab akan diuji daripada bab Keusahawanan. Manakala di Bahagian B, sekali lagi soalan pilihan dengan markah 25% akan diuji daripada bab Keusahawanan juga. Ini bermakna 50% dalam genggaman sekiranya pelajar berupaya menguasai bab Keusahawanan sepenuhnya.

Oleh kerana pelajar mesti menjawab 4 soalan penuh, dua soalan lagi pelajar bolehlah memilih untuk mengkhusus dalam bab Koperasi dan Organisasi bukan berasaskan untung serta bab Komunikasi.

Wednesday, January 20, 2010

Tumpuan tugas utama 2010

Salam..
Alhamdulillah…Setelah 2 minggu sesi persekolahan barulah saya berkesempatan untuk menulis untuk kali yang kedua didalam blog saya ini.Walaupun 2 minggu sesi persekolahan telah berlalu namun saya rasakan seolah-olah tidak memang tangan kerana banyak sekali kerja yang perlu saya bereskan.Yang paling ketara sekali adalah dari segi penyediaan rekod mengajar. Mulai tahun ini kami tidak akan lagi menggunakan buku rekod mengajar malahan kami perlu menaip rancangan harian dan dimasukkan ke dalam fail. Setiap guru mempunyai 4 buah ring fail kerana terdapat 4 folio yang perlu disediakan. Banyak juga kerja yang perlu dibuat. Mula-mula mungkin rasa sedikit pelik, tetapi mungkin lama kelamaan akan menjadi perkara biasa. Lagipun saya merasakan lebih mudah menaip rancangan mengajar harian kerana saya boleh copy dan paste sahaja untuk pengajaran yang seterusnya dan ianya boleh digunakan pada masa akan datang.Nampaknya selepas ini, memang setiap harilah saya akan mengadap laptop.
Satu lagi yang menarik perhatian saya adalah aktiviti kokurikulum yang akan diadakan pada setiap hari rabu dan ini bermakna tiada kegiatan kokurikulum pada hari sabtu. Kalau sebelum ini, saya akan pulang ke rumah pada pukul 1.05 tapi berbeza untuk tahun ini.Hari isnin dan selasa sesi persekolahan akan tamat pada pukul 2.30 petang kerana adanya aktiviti kolokium. Pada hari rabu pula, kami akan pulang pada pukul 3.50 petang kerana pengisian kokurikulum.. Manakala hari khamis dan jumaat kami akan pulang macam biasa seperti tahun-tahun lepas.Diharapkan dengan adanya perubahan seperti ini kita semua tidak akan terbeban dan akan memberikan kebaikan kepada kita semua.

Antara tumpuan tugas utama saya bagi tahun 2010 ialah:

1. Ketua Unit Pengajian Perniagaan
- Membantu meningkatkan prestasi mata pelajaran Pengajian Perniagaan.
- Mengadakan mesyuarat 3 kali setahun.

2. Guru mata pelajaran (Pengajian Perniagaan Tingkatan 6 Atas; Pendidikan
Sivik Dan Kewarganegaraan tingkatan 5)

- menyediakan pemetaan rancangan pelajaran tahunan, mingguan dan harian;
- merancang,dan melaksanakan aktiviti p & p yang berfakta, berkesan, menarik
dan menyeronokkan.
- menyediakan pelaksanaan pentaksiran formatif dan sumatif yang mematuhi
sukatan pelajaran.
- mengenal pasti tahap pencapaian setiap pelajar untuk tindakan susulan.

3. Ketua Guru Penasihat Persatuan MPP Pra-U
- menyediakan perancangan takwim aktiviti dan program persatuan 2010
- menyimpan daftar keanggotaan dalam satu fail yang kemas kini
- menasihatkan ahli jawatankuasa Persatuan MPP Pra-U tentang perlaksanaan
aktiviti dan program.
- memantau kemajuan setiap ahli persatuan dari segi penglibatan dan
pencapaian ahli persatuan
- memperaku markah kokurikulum setiap ahli Persatuan MPP Pra-U pada hujung
tahun

4. Penyelaras Unit Peperiksaan Dalaman / Headcount Tingkatan 6
- Menyediakan analisis Peperiksaan Tingkatan 6
- Menguruskan setiap headcount yang berkaitan dengan Tingkatan 6 terutamanya.
- Membuat analisis headcount setiap mata pelajaran.
- Menyediakan power point untuk pembentangan audit akademik