Tuesday, January 1, 2013

SELAMAT DATANG 2013 & SELAMAT TINGGAL 2012 & SEMUA MEMORI....♡♥


Assalamualaikum wbt..

Lama pula rasanya tak menulis di blog saya ini. Nak kata sibuk, tak juga tapi sekarang ni rasa macam tak larat hendak mengadap laptop lama-lama. Boleh dibilang dengan jari berapa kali jer saya membuka laptop sepanjang cuti sekolah ni. Kalau saya buka laptop pun hanya untuk menaip kerja-kerja yang berkaitan sekolah . Semenjak kebelakangan ini, saya lebih selesa hanya online di telefon bimbit sama ada untuk membaca email mahupun mengintai perkembangan kawan-kawan di Facebook. Selebihnya, saya tak sempat buat. Fuuuuh. Nampak gaya macam sibuk sangat-sangat jer, padahal sekarang ni tengah cuti sekolah kan..

Pertengahan November 2012 -Berbalik kepada cerita tentang cuti sekolah ni, sebelum cuti sekolah memang agak sibuk dengan PBS...nak key in.. alahai… menunggu malam bawa ke pagi.. yang nampak... benda tu berpusing2 jer... sabar jerla…walau bagaimanapun Alhamdulillah berkat kesabaran akhirnya semua dah settle. Jadi bila dah cuti sekolah ni kerja saya asyik mengadap tv jer. Nampak gaya macam balas dendam yang dulu-dulu xdpt tgk tv sgt. Sekarang dah terjebak dgn "Adam Mukhriz" n "Ain Hawani" , payah betul lah..asyik rewind jer..x jd keje. Hehe… Terutamanya Adam Mukhriz la yang saya lihat menjadi kegilaan ramai rakan-rakan saya di FB..persoalannya..wujudkah lelaki seperti Adam Mukriz didalam dunia realiti ni ?hehe…

Sebenarnya cuti sekolah kali ni , memang banyak rancangan saya. Ikutkan hati rasa nak pusing-pusing 1 Malaya ni ke utara, selatan dan timur.Walau bagaimanapun, saya hanya sempat ke Perlis, Kuala Lumpur dan Johor sahaja buat setakat ini. Ke Pahang saya masih belum berkesempatan untuk pergi lagi disebabkan terikat dengan program sekolah tambahan pula hujan nampaknya mendominasi cuaca sejak akhir-akhir hujung tahun ini di pantai timur. Jadi hasrat saya sejak mula untuk ke pantai timur yang dirancang awal sebelum ini terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Hujan itu rahmat Allah, biarpun ada di tempat-tempat lain, Allah menurunkan hujan sebagai bala apabila hujan bertukar menjadi ribut dan taufan. bersyukur kita sebanyak2-banyaknya kerana hujan  di negara ini masih menjadi hujan rahmat, biarpun ada aktiviti yang terpaksa  kita tukar saat akhir bagi mengatasi halangan ini.

Tak apa kalau tidak bercuti pun tetapi kita gantikannya dengan mengeratkan silaturrahim bersama saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai dan sesiapa jua yang menjemput kita memeriahkan majlis kenduri mereka. Ini pun sesuatu yang seronok juga. Menyeronokkan orang lain besar rahmatnya. Kita hilang rahmat bercuti, Allah ganti pula dengan rahmat makan kenduri. Pada pendapat saya, kalaupun kita belum ada peluang untuk bercuti sepuas-puasnya lagi tetapi menerima undangan dan meraikan majlis orang lain pun satu aktiviti malahan ia dituntut untuk kita lakukan dan jika kita hanya memikirkan keseronokan diri sendiri dan merasakan urusan orang lain bukan urusan kita, suatu hari nanti kita akan terasa sepi dan tidak diperlukan lagi.  Bagi pengantin baru, saya megucapkan selamat menyambut hari bahagia. Rasanya sampai disini saya berceloteh dan ini merupakan entri paling lama saya hasilkan iaitu pada tahun lepas....hehe...kerana saya mula menaip pada pukul 11.30 p.m pada tahun 2012 dan dapat disiapkan pada 12.30 a.m tahun 2013.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah....Bersyukur kita kepada Allah kerana Allah bagi kita kesempatan untuk berjumpa tahun 2013. Saya tinggalkan 2012 dgn 1001 kenangan pahit manis..Masa berlalu begitu pantas...setahun, 2 tahun, 3 tahun sudah berlalu 'tamparan' paling hebat diterima sepanjang bernafas di bumi Allah.. Hari ini saya mampu tersenyum atas 'kelukaan' semalam..Moga 2013 menjadi detik terindah dlm hidup saya..Inshaallah... :) 


P/S : Tahun baru atau tidak, bersyukurlah kerana Allah SWT masih beri kita peluang untuk bertaubat dan menambah amal soleh sebagai bekalan ke akhirat kelak. Apalah ertinya sehari atau setahun lagi yang diberikan jika kita masih terus bermaksiat kepada Allah SWT kerana Allah menciptakan manusia untuk beribadat kepadaNya bukan utk melakukan MAKSIAT!!!!!!!!!! Bila ditanya azam tahun baru...bagi saya tahun baru saya sudah lepas,bukan malam ini,malam ni tahun baru kafir..Tahun baru saya adalah tahun baru islam,sudah lama lepas dan azam dan doa saya sudah buat..bukan malam ini penuh dengan lalai dan maksiat di serata dunia. Wallahhualam..

Sunday, May 13, 2012

OH IBU

AJAIBNYA TANGAN IBU
Ketika kita lapar...tangan ibu yang menyuap,
Ketika kita haus...tangan ibu yang memberi minuman,
Ketika kita menangis...tangan ibu yang mengesat air mata,
Ketika kita gembira...tangan ibu yang menadah Syukur,memeluk kita erat dengan deraian air mata bahagia,
Ketika kita mengantuk...tangan ibu yang dodoikan dengan penuh kasih sayang,
Ketika kita mandi...tangan ibu yang meratakan air ke seluruh badan,membersihkan segala kekotoran,
Ketika kita dilanda masalah...tangan ibu yang membelai duka sambil berkata:Sabar nak, Sabar ye sayang.
Namun,
Ketika ibu sudah tua & kelaparan...tiada tangan dari anak yang menyuap,
Dengan tangan yang menggeletar, ibu suap sendiri makanan ke mulut dengan linangan air mata,
Ketika ibu sakit...di mana tangan anak yang ibu harapkan dapat merawat kesakitan ibu?
Ketika nyawa ibu terpisah dari jasad...
Ketika jenazah ibu nak dimandikan...
di mana tangan anak yang ibu harapkan untuk menyirami jenazah ibu buat kali yang terakhir.
Tangan ibu, tangan ajaib...
Sentuhan ibu, sentuhan kasih...
Boleh membawa ke Syurga Firdausi...
Ciumlah tangan ibu,
Sebelum ibu pergi bertemu Illahi & takkan kembali lagi...

Nukilan Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (Pendakwah & Pengacara Semanis Kurma TV9)

Tersentuh hati saya ketika mendengar Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood membaca sajak ini ketika bersiaran rancangan SEMANIS KURMA . Masya'allah betapa mulianya hati budi seorang ibu, kasih sayangnya sungguh suci dan murni. Alhamdulillah saya bersyukur kerana kini saya dapat selalu berada dekat dengan ibu saya. Tidak dapat saya gambarkan ketenangan hati dan kelapangan fikiran saya apabila berada disamping ibu. Kata-kata ibu bagaikan ubat penenang dikala kedukaan.... Kepuasan hati saya, kegembiraan saya apabila dapat membuat ibu mengukir senyuman penuh makna semasa kita bersama...'SELAMAT HARI IBU" buat ibu saya SITI MARIYAM BINTI AHMAD. Ya Allah sedihnya saya.. kerana bila mana saya mula berkata mengenainya...mata saya mula bergenang air mata...saya berjiwa yang sangat sensitif...Mak... Na syg mak...semoga mak sihat selalu...Na sayang mak sangat-sangat....untuk mak yang tersayang..tiada yang sesuci dan berharga melainkan kasih sayangmu selama ini..sesungguhnya Na tidak mampu untuk membalas jasa mak selama ini..hanya mampu Na tadahkan dua telapak tangan ini berdoa semoga mak bersenang hati disamping anak-anak yang lain..

Bila pandang wajah ibu kita kala tiada perkara lain dilakukan, hati tentu rasa sesuatu. Biarpun wajah itu sudah berkedut dimamah usia, pada kita yang sudah semakin dewasa kala wajah itu nampak semakin tua, pasti akan timbul satu rasa dalam hati yang sukar digambarkan.Tenang, sebak, terharu, sayang, berkumpul menjadi satu.

”Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan mulia. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata ”Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” - Al Isra 23-24

Rasulullah s.a.w pun pernah bersabda yang meletakkan tempat ibu tinggi sedikit dari tempat ayah sebanyak tiga kali. Namun tetap keduanya wajib dihormati dan dihargai selayaknya. Kerana ibu yang mengandungkan kita selama 9 bulan, kemudian menyusukan dan membesarkan kita dengan pelbagai didikan hingga jadinya kita yang sekarang, begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh seorang ibu. Subhanallah.Memandang wajah ibu bapa sahaja sudah menambah pahala, apatah lagi jika berbuat baik dengan mereka. Seboleh-bolehnya tidak mahu sekalipun hati dan rasa mereka terguris dengan apa-apa sahaja tindakan luar kawalan akibat jiwa yang dikuasai nafsu mahupun amarah. Jika itu berlaku, tanpa ada rasa untuk memohon keampunan, tunggulah balasan dari Yang Maha Berkuasa.Moga kita semua dijauhkan dari label anak derhaka oleh penghuni langit

Alhmdulillah saya masih punyai mak dan abah,semoga dua insan tersayang,sentiasa berada dalam RAHMAT DAN KASIH SAYANG ALLAH SELAMANYA Amin.... Kasih ibu tidak ternilai kerana ia amat berharga, belailah ibu, sayangilah ibu selagi nyawa dikandung badan...Semoga pengorbanan para ibu dihargai.Oleh itu sama-samalah kita hargai ketika ibu kita masih ada di depan mata..Sayangi dan ziarahilah insan yang bergelar 'ibu' selagi mereka masih ada didunia ini...dan sekiranya ibu anda telah tiada..usah menangis kerana Allah S.W.T lebih menyayangi ibu anda. Ketika kita masih bernyawa,perbanyakkan sedekah serta ayat-ayat suci Al-quran..Semoga arwah tenang di sana..kirimkan doamu setiap kali selepas solat...semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat....




ADAB DALAM MENGHORMATI GURU-ikim.fm

Ya Allah..kau muliakan lah para guru dan masyaikh kami sebagaiman pesan guru kami...

ADAB DALAM MENGHORMATI GURU-ikim.fm

Disampaikan oleh Murabbi tercinta, Syeikh Muhammad Nuruddin.

Mutiara kata dari syeikh yang sempat saya catat:

1-Kenalilah hak seorang guru, hak ini tidak pernah luput

2-Seseorang guru itu akan terasa hati apabila mendengar kata-kata dari anak muridnya seperti : ''Dia dulu pernah jadi guru ana'' atau ''ana pernah mengaji dengan beliau''

3-Ibu bapa bawa jalur kebahagiaan kita di dunia,manakala guru pula membawa jalur kebahagiaan buat kita untuk ke akhirat.

4-Sungguhpun Nabi SAW adalah guru, baginda juga adalah pemimpin yang tidak pernah memisahkan politik dengan agama.

5-Ulamak antara orang yang pernah mendapat doa dari Rasulullah saw dengan doa baginda: ''Allahummarham Khulafa'' yang bererti : ''Ya Allah rahmatilah para khulafa' ''

6-Dengan orang ramai bukan sahaja kita belajar ilmu tetapi ''ahwal'' seperti cara pemakaian guru, cara makan dan lain-lain.

7-Tidak ada karamah yang paling tinggi Allah beri kepada seseorang melainkan ISTIQOMAH.

8-Sifat Wali: 1)Berbakti & taat kepada Allah 2) Mendapat perlindungan dari Allah.

9- Sifat guru yang mursyid itu: 1) Mempunyai ilmu mantap 2) Mempraktikkan dan mengamalkan ilmunya 3)Berdakwah

10-Hormati guru bukan kerana kedudukan, kemuliaan atau kerana berkepentingan kerana bila mana kita menghormati seseorang guru itu kerana berkepentingan tertentu apabila kepentingan itu sudah tidak ada, maka kita tidak lagi menghormati guru.

11-Tanda berbakti kepada agama itu adalah dengan berbakti kepada guru.

12-Membuka pintu kereta untuk guru adalah sebagai tanda takzim memuliakan guru walaupun apa-apa yang dilakukan untuk guru itu kecil, mahupun sederhana, ada ganjaran di sisi Allah.

13-Peluang hidup yang diberi pada kita hanya sekali , apabila peluang itu berakhir, maka akan terputuslah amal kebaikan kita. Oleh itu, jalur kebaikan kita bersambung dengan adanya anak-anak murid kita apabila mereka mengamalkan ilmu yang kita ajarkan kepada mereka.


14-Seorang guru itu perlulah mempunyai sifat menyebarkan ilmu dengan tulus niat kerana Allah serta menjadi Qudwah Hasanah buat anak-anak didiknya supaya jalur kebaikan tersebut dapat berterusan.

p/s: alhamdulillah saya sudah semakin mengerti mengapa guru saya, Ustaz Muhadir Bin Haji Joll mengharamkan kami memanggil beliau dengan gelaran ''bekas guru''.Kata ustaz tiada sempadan pemisahan hubungan anak murid dan guru tambah-tambah lagi guru yang mengajar agama. Hubungan ilmu kadangkala lebih erat dari hubungan darah=)

Sollu 'alan nabiyy! (,'')

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تسلی



Friday, May 4, 2012

2012

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

As-Salam... Sebenarnya seperti ingin menyorok dalam gobok. Ya Bawah gobok ada kotak, di dalamnya tersembunyi satu kotak. Di bawahnya ada tempurung. Di bawahnya ada katak menyorok (lebih kurang begitulah lagu Malique dan Jamal Abdillah)... pokok pangkal pengakuan hari ini ialah - saya sudah terlalu lama abaikan blog. Padahal menulis blog/membaca blog adalah salah satu hobi saya. Saya kira sudah lama tidak mencoretkan sebarang cerita. Alasan saya? Biasalah. Tidak perlulah saya terangkan. Sebenarnya ada banyak kerja tertangguh. Dan apabila tertangguh, jadi bertimpa-timpa apabila hari berganti hari.

Ini merupakan entri pertama saya untuk tahun 2012. Setelah 1/3 tahun barulah saya punya kekuatan untuk menulis disini. Alhamdulillah....semakin lama saya semakin dapat mebiasakan diri ditempat kerja baru setelah 8 tahun saya di Kluang, Johor. Pastinya tinggal bersama keluarga dan merantau di tempat orang setelah sekian lama merupakan sata pengalaman yang berbeza dalam hidup saya. Saya mulakan 2012 dengan satu azam,semangat baru dan penuh kegembiraan, bukan kerana gembira meninggalkan Kluang,apatah lagi meninggalkan rakan-rakan tersayang yang selama ini banyak mewarnai hidup saya... Ya Allah...terasa rindu ini semakin kuat. Apabila mengenangkan kembali tahun pertama saya merantau ditempat orang seorang diri, air mata saya mengalir kerana berasa terlalu kerdil, kerana merasakan bahawa saya ini tiada daya upaya, tiada kekuatan melainkan dari yang Esa. Kerinduan pada keluarga tersayang dan kesusahan dan yang diberi, memaksa kita kembali pada yang Esa. Dan itulah hikmah disebaliknya. Kalau bukan kerana air mata ini, kalau bukan kerana perasaan kerdil dan kesusasahan ini, mungkin pengharapan saya dan perasaan rendah hati itu hampir tiada. Pergantungan sepenuhnya kepada Allah sebagai Rabb tidak mencukupi… kerana secara fitrahnya manusia yakin Rabb (Allah, Tuhan) itu ada. Kalau dalam kesusahan, pasti terkeluar dari mulut mereka yang mendakwa tidak percaya kepada Tuhan sekalipun “Oh Tuhan tolonglah aku” Mempercayai Tuhan adalah fitrah manusia, jadi usah lari darinya. Malah Allah berfirma di dalam Al-Quran. Di surah Ankabut ayat 61, bahawa manusia yang kufur sekalipun ketika ditanya, siapa yang menciptakan bumi ini, mereka tetap akan menjawab Allah. Apa bezanya dengan kita ,jika kita percaya Allah mencipta bumi dan alam tetapi kita tidak ada keyakinan melebihi itu? Mempercayai Allah itu Illah kita ialah menyerah segalanya, mempercayai setiap urusan dan peristiwa yang berlaku, setiap duka dan tawa, setiap rezeki yang disekat atau dimurahkan, adalah sebahagian dari perancangan Allah untuk kita tanpa mempersoalkan dan mengeluh adalah asas Tauwid yang sebenarnya.

Bila dikenang kembali perjalanan hidup saya sebagai seorang guru. Saya memulakan tugas sebagai pendidik usai pengajian di UPM, Serdang. Sekolah pertama saya berkhidmat adalah SMK Tengku Aris BEndahara, Kluang selama 7 tahun. Walaupun saya pemegang Bacelor Perakauan dengan Pendidikan saya diberi tanggungjawab untuk mengajar subjek Pengajian Perniagaan. Awalnya saya rasa agak tidak yakin untuk mengajar subjek yang banyak dengan fakta, huraian dan contoh tetapi saya tidak kisah kerana ia masih dalam bidang pendidikan. Mungkin ada diantara mereka yang kurang memberi perhatian ketika saya mengajar tetapi saya anggap itu perkara biasa. Setiap guru pasti akan mengalami masalah yang sedemikian. mengajar pelajar yang sudah matang memang menyenangkan. Tetapi ada yang mencabar saya dengan soalan-soalan yang sukar dan saya tidak marah sebaliknya saya anggap itu satu cabaran untuk saya memberikan yang lebih baik. Saya anggap pengalaman itu sesuatu yang manis. Dalam masa yang sama, saya dapat belajar benda yang baru. Sekarang saya sudah tidak mengajar lagi subjek PENGAJIAN PERNIAGAAN. Oh Tuhan...saya benar-benar rindukan subjek ini yang sudah sebati dengan jiwa saya. Saya rindu nak mengajar menyediakan modul, latihan dan soalan ramalan untuk subjek ini. tapi saya sudah tidak dapat merasainya lagi. Apabila saya melihat di "Live Traffic Feed" masih ramai lagi pelajar-pelajar yang mahu mencari nota dan latihan Pengajian Perniagaan dan ini membuatkan saya terharu. Maafkan saya. Maafkan saya. Maafkan saya.Hanya setakat itu yang mampu saya.Ingin saya jelaskan disini,saya tidak lagi memperbaharui nota dan latihan PENGAJIAN PERNIAGAAN kerana kini saya bertugas di sekolah baru dan tidak lagi mengajar subjek ini dan sudah semestinya saya juga banyak terlibat dengan komitmen lain di sekolah baru tempat saya bertugas. Terima kasih kepada semua yang menghargai dan menggunakan nota dan latihan saya yang tidak seberapa, walaupun saya sedar masih banyak terdapat kelemahan dan kekurangan.

Kini saya bertugas di salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan di daerah Kulim. Di sini saya mengajar subjek ICTL. Makin lama saya makin suka ajar subjek ini.Sekurang-kurangnya saya dapat mebantu pelajar tentang penggunaan teknologi iaitu bagaimana cara meggunakan computer, internet, web dan sebagainya. Walaupun subjek ini merupakan subjek baru bagi saya tetapi sejak dahulu lagi, saya suka mencuba benda baru. Tidak kisahla mengajar subjek apa pun dan walaupun bukan opsyen saya yang pasti, saya memang suka mengajar dan itu sudah menjadi minat saya sejak dahulu lagi. Sebenarnya saya masih lagi cuba membiasakan diri di tempat baru. Semuanya serba baru bagi saya. Memang agak sukar, tapi saya yakin lambat laun saya pasti biasa dgn keadaan dan persekitaran di tempat baru saya.Berkenaan tentang diri saya,dari dulu sampai sekarang.... kalau saya suka orang, saya tak pergi pada dia... saya tengok dari jauh jer... sebab saya tak pandai berborak, tapi saya suka senyum... jadi, buat kengkawan baru disini... walau kita jarang cakap, tapi saya tetap sayang kamu semua :D. Saya sering mengingatkan diri saya hanya dengan senyuman, masalah boleh selesai ! Dasyat sungguh impak dari senyuman rupanya. Mulai saat ini, tebarkanlah senyuman kita kepada sesiapa sahaja kerana senyuman itu adalah sedekah. Berikanlah sebuah senyum yang penuh ketulusan, senyum yang benar-benar timbul dari hati kita. Seberat mana pun masalah yang kita hadapi, maka tetaplah tersenyum. Tetaplah tebarkan senyum kerana senyuman kita itu adalah ubat daripada kesedihan kita. Tertawalah dan tersenyumlah dengan wajar dan ketulusan. Bukan tertawa dan tersenyum seolah-olah menyindir atau bersikap sinis. Tertawa dan tersenyum jangan belebihan kerana terlalu banyak tertawa juga akan mematikan hati. Yakinlah bahawa Allah akan berikan petunjuk dan jalan mengatasi masalah. Tersenyumlah kerana itu adalah tanda keceriaan, bertitik tolak dari rasa suka dan kegembiraan. Tersenyumlah, kerana senyuman adalah kekuatan kita dan tersenyumlah kerana harapan masih ada.

Rasanya sampai disini sahaja saya menulis, mohan maaf andai terdapat kekurangan dan kekhilafan tanpa saya sedari. Saya sedar diri saya bukan siapa-siapa..bukannya insan bergelar,bukannya ustazah,apatah lagi alim ulama'..diri saya hanya insan biasa,seorang hambaNya,seorang guru kepada anak-anak muridku,seorang anak kepada ibubapaku,seorang muslimah yang dikelilingi saudara sedarah, seislam..Saya hanya menulis sekadar luahan seorang hamba,bukan meletak diri sayalah hebat,sayalah sempurna, sayalah yang benar..tapi saya sentiasa merasakan diri saya sentiasa dalam kekurangan..jangan dicela diri saya,andai diri tak sepertimana di penulisan ini. Saya insan yang lemah,menulis untuk pemangkin bagi seorang seperti saya,agar tidak alpa dan leka,agar tidak sombong dan bermegah2,malah, sentiasa membaiki dan memotivasi diri..menjadi hamba, guru, anak, muslimah yang beriman dan solehah..yang sentiasa berpegang pada tali ALLAh,yang menyanjung Rasul, Muhammad S.A.W,yang bersandar Al-Quran dan hadis..cuma saya mengharap hidup ini sentiasa dalam redha ILLAHI, sentiasa dibukakan hati untuk menerima nur RahmatNya,agar diri tidak terus tenggelam dalam dunia yang semakin 'jauh'..marilah sama2 kita cermin diri,muhasabah diri,dan merubah diri,agar hari ini lebih baik dari semalam..


Ikhlas,
Mariana Othman






Sunday, November 20, 2011

Suka duka kehidupan...

10.11 2011 ..
Ya Allah…Terasa penat sangat hari ni. Saya baru sampai dari kedah pagi ini dan terus ke sekolah untuk menyaksikan Majlis Graduasi Pra-U 2 2011. Memang saya sangat penat ditambah lagi dengan cuaca yang panas. Selesai sahaja Majlis Graduasi saya jadi tidak sabar untuk bergegas ke bilik guru.

“Kak Ana…Kak Ana dapat pindah”
Antara percaya dan tidak percaya. “ Yerke ni…Umi tipulah…xkan kot” “yer..betul, kalau akak xcayer..akak g cek kat laptop saya. Alhamdulillah ..akhirnya…Pertukaran saya ke Kedah diluluskan. Maaf Umi…bukan akak tidak percaya pada umi, tapi memang akak tidak percaya langsung akak boleh pindah akhirnya.
Saya mengukir senyuman. Tidak manis tetapi pahit.Pahit lantaran bakal berlakunya perpisahan.Sesungguhnya inilah keputusan yang telah saya tunggu selama 4 tahun kebelakangan ini. Ya Allah…apa perasaan saya tika ini. Rasa seperti mimpi. Gembira tapi dalam masa yang sama sedih sangat kerana terpaksa meninggalkan tempat yang banyak member kenangan pahit manis selama hampir 8 tahun saya berada di sini. .
Benar, sudah terlalu lama saya di sini. Hampir 8 tahun. Tentu sahaja ada insan-insan yang mencari dan tentu sahaja ada insan-insan yang dirindui dan merindui.

Minggu ini adalah minggu terakhir saya bersama rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar SMKTAB.Itu bermakna saya bakal berpisah dengan dengan mereka semua.Saya termenung seketika..

18.11.2011
Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di SMKTAB.Saat itu ucapan maaf dilafaz, ucapan sayang diucap dan pelbagai ucapan salam perpisahan diucapkan. Semua itu diluah dalam dakapan kasih sayang yang tidak tergambar sayunya.
"Mesti akak RINDU ana nanti" Itulah kata- kata Kak Juju ketika itu yg cukup membuatkan hati saya sayu dan pilu ketika kami bersalaman dan berpelukan. Saya telah sedaya upaya menahan air jernih bergenang di kelopak mata, tapi saya tidak mampu.Saya cuba untuk berlagak seperti biasa kerana saya tidak mahu pemergian saya ditangisi sedangkan yang sebetulnya hati saya sedang merana.Ya Allah..sebaknya perasaan saya ketika itu.Saya cuba menahan air mata tetapi saya tidak mampu.

Teringat perpisahan pada tahun 2010 dahulu. Apabila rakan baik saya selama 7 tahun akan berpindah ke Ipoh. Rasa separuh jiwa saya pergi. Saya tidak boleh bayangkan rakan baik saya ketika saya susah dan senang akan pergi meninggalkan saya. Ya Allah..peritnya jiwa saya pada ketika itu. Sakitnya perpisahan sehingga sedu-sedan saya tidak berakhir. Sayu dan pilu.Kak Goi Wai Mun masih saya ingat, masih saya kenang dan masih saya rindui.

Kini hampir ke penghujung tahun 2011...Saya perlu menghadapi perpisahan yang sama.Sekali lagi, dengan perasaan berat saya terpaksa berpisah dan meninggalkan tempat di mana saya mula menjadi guru yang sebenar.Ada air mata tapi tiada sedu sedan kerana saya sudah belajar dari perpisahan yang sebelum ini .Dakapan demi dakapan erat dari rakan-rakan dan pelajar-pelajar memang amat menyentuh jiwa dan perasaan.Sayu dan pilu.

8 tahun saya berada di bumi Johor adalah satu tempoh yang lama saya berjauhan dengan keluarga tersayang.Antara sebab saya bertahan kerana Allah pertemukan saya dengan begitu ramai orang-orang yang baik: Kepada rakan-rakan guru SMKTAB. Sampai disini saja kita bertemu. Ada sebak dan ada juga rasa terkilan...Kerana mereka juga kawan-kawan yang baik, kawan-kawan yang prihatin,kawan-kawan yang penyayang dan kawan-kawan yang tahu erti menghormati.

Pada pelajar-pelajar saya berpesan: "Gunakan ilmu yang ada dengan amanah dan sebaik-baiknya" Walaupun dimana saya berada saya tetap mendoakan yang terbaik buat mereka. Cuma pada kali ini saya berada jauh dari mereka. Saya tidak dapat meluangkan banyak masa tatkala mereka sedang menghadapi saat-saat akhir sebelum STPM 2011 bermula.

Setiap tahun saya berganti anak didik saya..Mereka hadir dalam hidup saya bagai suria di pagi hari.Ceria dan penuh kasih sayang.Saya tidak punya apa-apa untuk mereka melainkan kata-kata semangat dan nasihat untuk mereka meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu dan berjaya suatu hari nanti.Saya tidak kisah jika mereka ingin berbicara panjang dengan saya.Tidak saya marah jika mereka ingin bergurau dan menyakat saya.Saya juga tidak punya masalah jika mereka ingin mengadu apa jua hal kepada saya.Malah saya juga tidak menafikan saya seringkali menjadi orang tengah untuk mereka menyampaikan apa yang terbuku di hati mereka.Cumanya, jika mereka sedar bahawa dalam bicara saya seringkali ada nasihat dan jika mereka fahami bahawa dalam gurauan saya seringkali ada perkara yang ingin saya peringatkan.Kerana HIKMAH ITU ADALAH SEGALANYA.Baru lahir kasih sayang dan baru ada rasa ingin menghormati.Saya ingin mereka belajar bahawa menjadi yang paling tua tidak bererti kita perlu mendominasi, kita perlu ego, kita juga perlu memaksa yang muda mendengar kata kita dan seterusnya menghormati kita. Sebenarnya menjadi yang paling tua itu menyandang tanggungjawab yang amat besar iaitu untuk mendidik dan menjadi contoh terbaik untuk yang muda. KITA TIDAK AKAN DIHORMATI DAN DIKASIHI MELAINKAN KITA MENGHORMATI DAN MENGASIHI ORANG LAIN Terus terang saya katakan,bukan mudah menjadi seorang guru kepada berpuluh (atau mungkin beratus)untuk anak-anak didik saya.. Saya sangat sayang dan mengasihani mereka kerana tidak sempurna Iman kita kalau kita tidak mengasihani orang lain seperti mana kita mengasihani diri sendiri.

Akhir kata,kepada rakan-rakan, pelajar-pelajar,dan bekas pelajar saya ketahuilah.."SAYA SAYANG SEMUANYA" Terima kasih di atas doa anda semua yang mengharapkan saya gembira di tempat baru nanti..Inshaallah, saya juga sentiasa doakan yang terbaik buat kalian semua.Salam perpisahan dan salam kemaafan saya pinta seandainya terdapat keterlanjuran kata dan kekasaran bahasa sepanjang mengenali saya.Sesungguhnya saya juga manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Inshaallah..saya berjanji pada diri supaya lebih baik lagi...menjadi orang yang lebih baik lagi.Semoga Allah jinakkan hati saya....semoga saya dijauhkan dari penyakit-penyakit hati...seperti benci, dengki, riak, bongkak, pemarah, dendam dan semoga Allah anugerahkan ketenangan di dalam diri kita semua....Surah al-Anfal: 63
Maksudnya: Jika kamu membelanjakan seluruh yang ada di permukaan bumi ini, nescaya kamu tidak akan dapat menjinakkan hati manusia. Tetapi Allahlah yang menjinakkan hati antara hati-hati mereka.

Setiap bermula pasti ada akhirnya.Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setiap kegembiraan pasti ada kedukaan..Tetapi saya redha kerana saya percaya takdir Allah itu indah.

Friday, August 5, 2011

2.08.2004...7 Tahun sudah berlalu..

2.08.2004 saya ditempatkan di SMKTAB Kluang.Alhamdulillah genap 7 tahun saya menjadi seorang pendidik.Terima kasih pada kawan-kawan yang selama ini menyokong & memberi nasihat.Pengalaman mengajar erti hidup.Walaupun dimana kita ditempatkan,yang penting semangat untuk memajukan anak bangsa. Bagi saya, tugas seorang pendidik bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajar tetapi dalam masa yang sama mendidik pelajar-pelajar membentuk perkembangan sahsiah diri.

Memang sejak di bangku sekolah lagi,saya cukup kagum dan minat kerjaya dalam bidang perguruan. Melihat kesungguhan dan ketekunan guru-guru mendidik pelajar-pelajar tanpa pernah rasa jemu dalam diri mereka membuatkan saya menanam azam dalam diri bahawa suatu hari nanti, saya juga akan bergelar seorang pendidik.Saya berpendapat bahawa kerjaya seorang seorang pendidik ini satu tugas yang mulia kerana mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Amat penting untuk seorang pendidik itu menjiwai tugas yang dipertanggungjawabkan agar segala ilmu berbekas kepada pelajar-pelajar.

Memang banyak pengalaman yang saya lalui sepanjang 7 tahun menjadi seorang pendidik. Namun saya menganggapnya sebagai cabaran dalam dunia pendidikan. Sebagai seorang pendidik saya tidak dapat lari daripada menghadapi pelabagai karenah pelajar yang lemah dalam pelajaran juga pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Dua tahun lalu saya bertanggungjawab mengajar subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan ianya amat mencabar bagi saya apatah lagi terpaksa mengajar di kelas-kelas yang mempunyai pelajar-pelajar yang nakal, lemah dalam pelajaran serta tidak berminat untuk belajar. Inilah cabaran besar yang terpaksa dilalui oleh seorang guru setiap kali mengajar di dalam kelas yang bermasalah. Selain itu, saya juga turut terlibat dengan tugas perkeranian.Berbanding tugas mendidik pada zaman dahulu, zaman sekarang tugas mengajar lebih mencabar. Maka sebab itulah seorang guru perlu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum mengajar di dalam kelas. Saya juga tak sekuat mana, tapi kawan-kawan yg soleh membantu saya mendapat kekuatan. Itupun rakan-rakan soleh itu pada saya 'hadiah' dari Allah pada saya. Saya bersyukur dapat bertemu dengan rakan-rakan seperti mereka yang banyak mewarnai hidup saya, yang sanggup bersama saya ketika susah dan senang.

Saya teringat kata-kata seorang pelajar saya.Marah!!!!!Pernah saya diberitahu oleh salah seorang pelajar saya. "Cikgu Mariana tak pernah marah, susah nak tengok cikgu marah" Saya hanya mampu tersenyum dan berkata "marah tidak dapat menjanjikan apa-apa... memaafkan adalah jalan terbaik sebelum ia menjadi dendam.. saya halalkan semua ilmu saya kepada awak semua dan saya memaafkan awak semua.Saya juga mengharapkan perkara yang sama daripada awak semua..." Tipulah kalau saya katakan saya langsung tidak mempunyai sifat marah. Kalau boleh saya cuba untuk menjadi orang yang menahan marah. Allah, saya cuba dan cuba Ya Allah dan setelah dekat dengan Quran memang ianya turut reda.Apa itu menahan amarah? Iaitu bila kita rasa nak meletup...bila rasa nak marah sangat,at that point of time...WAKTU ITULAH kita Tahan dan sabar..bukan lepas..tapi sebelum, - ITULAH KEMENANGANNYA..Itulah orang yang bertaqwa... Dan tidak mungkin kita dapat kekuatan sekiranya kita tidak dekat dengan Quran... Quran itu melembutkan hati... Orang-Orang yang keras jiwanya dan hatinya, mampu dijinakkan dengan Quran tetapi kita harus benar-benar berserah dan menghadap Quran dengan penuh rendah hati dan kejujuran...."(iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan":134



Jika ditanya apakah peristiwa sedih yang tidak dapat saya lupakan sepanjang 7 tahun saya di bidang perguruan. Peristiwa ketika saya menjadi guru tingkatan 4 tahun lepas.Sewaktu saya mengutip yuran peperiksaan SPM. Semua pelajar sudah menjelaskan yuran tersebut kecuali seorang pelajar lelaki ini.Pelbagai cara telah digunakan tetapi dia masih tidak mahu menjelaskan, kadang-kadang dia tidak datang ke sekolah untuk mengelak dari berjumpa dengan saya.Akhirnya setelah pelbagai cara dilakukan,saya nekad untuk menghubungi ibu bapanya.Jika benar dia menghadapi masalah kewangan saya akan membantu untuk mendahulukan duit saya. Apabila saya bercakap dengan si ayah di telefon, alangkah terkejutnya saya..kerana si ayah telah lama memberikan yuran tersebut tetapi si anak telah meggunakan wang pemberian ayahnya untuk tujuan lain dan bukannya membayar yuran SPM.. ini benar-benar membuatkan saya terduduk dan sedih, terlalu hiba rasanya... Saya teringat kisah kakak saya yang juga merupakan seorang guru. Pengalamannya hampir sama dengan pegalaman saya. Seorang ibu datang ke sekolah untuk membayar yuran kerana tidak percayakan anaknya, kerana sebelum ini yuran tersebut telah diberikan kepada anaknya tetapi anaknya menggunakan untuk tujuan lain. Masyaallah..saya hampir menangis mendengar kisah ini. Si ibu datang ke sekolah dengan basikal untuk menjelaskan yuran , di pertengahan jalan rantai basikal putus. Habis baju dan tudung si ibu kotor dengan minyak rantai basikal. Sungguh 'hebat' anak-anak ini.... Tidakkah sedikit atau sekelumit perasaan anak-anak ini memikirkan bagaimana susahnya ibu dan bapa mereka mencari rezeki untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga... Saya berharap semoga peristiwa sebegini tidak akan terjadi lagi dan semoga anak ini mendapat keampunan daripada ibu bapa mereka... Insaf betul saya...Di saat ini saya terbayangkan kedua ibu bapa saya..Terlalu banyak jasa mereka kepada saya..Mak, abah ...Ampunilah dosa anakmu ini..Tatkala kita melakukan kesilapan dan dosa....(yang pasti semua kan lakukan) baik besar atau kecil. Kemudian, kita INGAT pada Allah! Kita berhenti! Kita minta maaf...kita minta ampun , kita MENYESAL...baik dalam hati sekalipun.... kerana Allah Maha Mengetahui segala isi hati.... Maka kita TINGGALKAN atau kita berjanji pada diri, mahu berubah.... Allah AKAN AMPUNKAN... dan balasannya ialah "syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal didalamnya...":136

Tanpa sedar 7 tahun masa berlalu. Jka ditanya kenangan manis sebagai pendidik sudah tentulah melihat kejayaan pelajar-pelajar merupakan momen paling indah dalam hidup saya. Terasa hilang penat lelah apabila melihat pelajar-pelajar didikan saya mengecap kejayaan dalam pelajaran dan karier masing-masing.Harapan dan doa saya sudah tentulah mahu melihat pelajar-pelajar saya berjaya di dunia dan di akhirat.Ameen...

Saturday, May 14, 2011

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara


Esok Hari Guru. Sempena hari penuh bermakna kepada para guru ini, ingin saya menyingkap kembali betapa besar jasa dan kasih sayang guru sewaktu saya di peringkat tadika/prasekolah, di peringkat sekolah rendah (terlampau banyak sekolah,) di hujung tahun 1980-an dahulu dan tak lupa sewaktu aku diperingkat remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Panglima Besar.Menitis air mata apabila terkenang kembali zaman persekolahan.Sesungguhnya zaman persekolahan adalah kenangan yang paling berharga dalam hidup saya kerana saya telah dididik sehingga berjaya berkat dari usaha semua guru-guru yang pernah mengajar saya, sehingga saya berjaya menggenggam segulung ijazah. TERIMA KASIH CIKGU.

Profesion perguruan bukan mainan. Bukan semua orang mampu atau layak untuk melaksanakan dengan penuh berwibawa kerana bidang yang diceburi ini menjanjikan seribu satu macam cabaran dan ada kalanya itu sukar untuk diduga. Kata orang kalau takut dilambung ombak, jangan sekali-kali membuat rumah ditepi pantai.
Warga pendidik paling dihormati dalam masyarakat. Tanpa mereka mana mungkin kita semua dapat membaca dan menulis. Kalau tidak diajar mengira, mana mungkin kita boleh menghitung. Jadi orang bodohlah kita. Bagi saya, sekecil apa pun peranan guru, pasti mempunyai peranan besar terhadap kehidupan kita sekarang ini. Tetapi sayang masih banyak guru di negara kita yang terpinggir, tidak dipedulikan, tidak terjamah oleh kita yang tinggal di kota.

Guru boleh diibaratkan sebagai pahlawan tanpa tanda jasa. Mereka tidak pernah meminta jasa dibalas. Mereka tidak harap budi dikenang kerana matlamat mereka adalah mengajar dengan tulus daripada hati yang paling dalam hanya untuk mendidik anak bangsa.

Tujuannya melahirkan generasi bijak pandai yang dapat menjadi pemimpin masa depan. Hanya itu, tidak ada tujuan lain dan imbalan yang diharapkan. Datanglah hari guru saban tahun, saya percaya guru tidak mengharapkan anak murid membawakan hadiah. Tetapi kalau anak murid datang mengucapkan, “ Cikgu…Selamat Hari Guru,” itu sudah cukup membahagiakan guru.

Sempena hari guru esok, kalau ditanya, apakah hadiah yang paling bermakna untuk saya, jawapannya mudah sahaja. Kejayaan anak didik saya adalah kepuasan dan hadiah yang sangat berharga untuk dinilai biarpun dengan intan permata. Bagi saya hadiah paling istimewa untuk semua guru kita adalah doa. Doakan mereka beroleh keberkatan dan diampunkan dosa. Jika guru masih hidup doakan panjang umur, dimurahkan rezeki, dipelihara kesihatan dan dirahmati Allah SWT. Doakan mereka dalam setiap solat kita.

“Hakikikatnya, para guru bukanlah insan yang mengharapkan balasan. Cuma apa yang diperlukan dari pelajar mereka ialah perasaan kasih sayang serta rasa hormat yang tidak berbelah bahagi. Insyaallah, selagi hayat dikandung badan, saya akan cuba laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin untuk kebaikan di masa akan datang.

P/S: Memetik kata-kata Saidina Ali: “Barangsiapa yang mengajarkan aku walaupun satu ayat maka dialah guruku…”. Selamat Hari Guru buat semua guru yang pernah mengajar saya tanpa jemu.Tanpa guru siapalah saya...