Sunday, May 13, 2012

OH IBU

AJAIBNYA TANGAN IBU
Ketika kita lapar...tangan ibu yang menyuap,
Ketika kita haus...tangan ibu yang memberi minuman,
Ketika kita menangis...tangan ibu yang mengesat air mata,
Ketika kita gembira...tangan ibu yang menadah Syukur,memeluk kita erat dengan deraian air mata bahagia,
Ketika kita mengantuk...tangan ibu yang dodoikan dengan penuh kasih sayang,
Ketika kita mandi...tangan ibu yang meratakan air ke seluruh badan,membersihkan segala kekotoran,
Ketika kita dilanda masalah...tangan ibu yang membelai duka sambil berkata:Sabar nak, Sabar ye sayang.
Namun,
Ketika ibu sudah tua & kelaparan...tiada tangan dari anak yang menyuap,
Dengan tangan yang menggeletar, ibu suap sendiri makanan ke mulut dengan linangan air mata,
Ketika ibu sakit...di mana tangan anak yang ibu harapkan dapat merawat kesakitan ibu?
Ketika nyawa ibu terpisah dari jasad...
Ketika jenazah ibu nak dimandikan...
di mana tangan anak yang ibu harapkan untuk menyirami jenazah ibu buat kali yang terakhir.
Tangan ibu, tangan ajaib...
Sentuhan ibu, sentuhan kasih...
Boleh membawa ke Syurga Firdausi...
Ciumlah tangan ibu,
Sebelum ibu pergi bertemu Illahi & takkan kembali lagi...

Nukilan Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (Pendakwah & Pengacara Semanis Kurma TV9)

Tersentuh hati saya ketika mendengar Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood membaca sajak ini ketika bersiaran rancangan SEMANIS KURMA . Masya'allah betapa mulianya hati budi seorang ibu, kasih sayangnya sungguh suci dan murni. Alhamdulillah saya bersyukur kerana kini saya dapat selalu berada dekat dengan ibu saya. Tidak dapat saya gambarkan ketenangan hati dan kelapangan fikiran saya apabila berada disamping ibu. Kata-kata ibu bagaikan ubat penenang dikala kedukaan.... Kepuasan hati saya, kegembiraan saya apabila dapat membuat ibu mengukir senyuman penuh makna semasa kita bersama...'SELAMAT HARI IBU" buat ibu saya SITI MARIYAM BINTI AHMAD. Ya Allah sedihnya saya.. kerana bila mana saya mula berkata mengenainya...mata saya mula bergenang air mata...saya berjiwa yang sangat sensitif...Mak... Na syg mak...semoga mak sihat selalu...Na sayang mak sangat-sangat....untuk mak yang tersayang..tiada yang sesuci dan berharga melainkan kasih sayangmu selama ini..sesungguhnya Na tidak mampu untuk membalas jasa mak selama ini..hanya mampu Na tadahkan dua telapak tangan ini berdoa semoga mak bersenang hati disamping anak-anak yang lain..

Bila pandang wajah ibu kita kala tiada perkara lain dilakukan, hati tentu rasa sesuatu. Biarpun wajah itu sudah berkedut dimamah usia, pada kita yang sudah semakin dewasa kala wajah itu nampak semakin tua, pasti akan timbul satu rasa dalam hati yang sukar digambarkan.Tenang, sebak, terharu, sayang, berkumpul menjadi satu.

”Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan mulia. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata ”Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” - Al Isra 23-24

Rasulullah s.a.w pun pernah bersabda yang meletakkan tempat ibu tinggi sedikit dari tempat ayah sebanyak tiga kali. Namun tetap keduanya wajib dihormati dan dihargai selayaknya. Kerana ibu yang mengandungkan kita selama 9 bulan, kemudian menyusukan dan membesarkan kita dengan pelbagai didikan hingga jadinya kita yang sekarang, begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh seorang ibu. Subhanallah.Memandang wajah ibu bapa sahaja sudah menambah pahala, apatah lagi jika berbuat baik dengan mereka. Seboleh-bolehnya tidak mahu sekalipun hati dan rasa mereka terguris dengan apa-apa sahaja tindakan luar kawalan akibat jiwa yang dikuasai nafsu mahupun amarah. Jika itu berlaku, tanpa ada rasa untuk memohon keampunan, tunggulah balasan dari Yang Maha Berkuasa.Moga kita semua dijauhkan dari label anak derhaka oleh penghuni langit

Alhmdulillah saya masih punyai mak dan abah,semoga dua insan tersayang,sentiasa berada dalam RAHMAT DAN KASIH SAYANG ALLAH SELAMANYA Amin.... Kasih ibu tidak ternilai kerana ia amat berharga, belailah ibu, sayangilah ibu selagi nyawa dikandung badan...Semoga pengorbanan para ibu dihargai.Oleh itu sama-samalah kita hargai ketika ibu kita masih ada di depan mata..Sayangi dan ziarahilah insan yang bergelar 'ibu' selagi mereka masih ada didunia ini...dan sekiranya ibu anda telah tiada..usah menangis kerana Allah S.W.T lebih menyayangi ibu anda. Ketika kita masih bernyawa,perbanyakkan sedekah serta ayat-ayat suci Al-quran..Semoga arwah tenang di sana..kirimkan doamu setiap kali selepas solat...semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat....




ADAB DALAM MENGHORMATI GURU-ikim.fm

Ya Allah..kau muliakan lah para guru dan masyaikh kami sebagaiman pesan guru kami...

ADAB DALAM MENGHORMATI GURU-ikim.fm

Disampaikan oleh Murabbi tercinta, Syeikh Muhammad Nuruddin.

Mutiara kata dari syeikh yang sempat saya catat:

1-Kenalilah hak seorang guru, hak ini tidak pernah luput

2-Seseorang guru itu akan terasa hati apabila mendengar kata-kata dari anak muridnya seperti : ''Dia dulu pernah jadi guru ana'' atau ''ana pernah mengaji dengan beliau''

3-Ibu bapa bawa jalur kebahagiaan kita di dunia,manakala guru pula membawa jalur kebahagiaan buat kita untuk ke akhirat.

4-Sungguhpun Nabi SAW adalah guru, baginda juga adalah pemimpin yang tidak pernah memisahkan politik dengan agama.

5-Ulamak antara orang yang pernah mendapat doa dari Rasulullah saw dengan doa baginda: ''Allahummarham Khulafa'' yang bererti : ''Ya Allah rahmatilah para khulafa' ''

6-Dengan orang ramai bukan sahaja kita belajar ilmu tetapi ''ahwal'' seperti cara pemakaian guru, cara makan dan lain-lain.

7-Tidak ada karamah yang paling tinggi Allah beri kepada seseorang melainkan ISTIQOMAH.

8-Sifat Wali: 1)Berbakti & taat kepada Allah 2) Mendapat perlindungan dari Allah.

9- Sifat guru yang mursyid itu: 1) Mempunyai ilmu mantap 2) Mempraktikkan dan mengamalkan ilmunya 3)Berdakwah

10-Hormati guru bukan kerana kedudukan, kemuliaan atau kerana berkepentingan kerana bila mana kita menghormati seseorang guru itu kerana berkepentingan tertentu apabila kepentingan itu sudah tidak ada, maka kita tidak lagi menghormati guru.

11-Tanda berbakti kepada agama itu adalah dengan berbakti kepada guru.

12-Membuka pintu kereta untuk guru adalah sebagai tanda takzim memuliakan guru walaupun apa-apa yang dilakukan untuk guru itu kecil, mahupun sederhana, ada ganjaran di sisi Allah.

13-Peluang hidup yang diberi pada kita hanya sekali , apabila peluang itu berakhir, maka akan terputuslah amal kebaikan kita. Oleh itu, jalur kebaikan kita bersambung dengan adanya anak-anak murid kita apabila mereka mengamalkan ilmu yang kita ajarkan kepada mereka.


14-Seorang guru itu perlulah mempunyai sifat menyebarkan ilmu dengan tulus niat kerana Allah serta menjadi Qudwah Hasanah buat anak-anak didiknya supaya jalur kebaikan tersebut dapat berterusan.

p/s: alhamdulillah saya sudah semakin mengerti mengapa guru saya, Ustaz Muhadir Bin Haji Joll mengharamkan kami memanggil beliau dengan gelaran ''bekas guru''.Kata ustaz tiada sempadan pemisahan hubungan anak murid dan guru tambah-tambah lagi guru yang mengajar agama. Hubungan ilmu kadangkala lebih erat dari hubungan darah=)

Sollu 'alan nabiyy! (,'')

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تسلی



Friday, May 4, 2012

2012

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

As-Salam... Sebenarnya seperti ingin menyorok dalam gobok. Ya Bawah gobok ada kotak, di dalamnya tersembunyi satu kotak. Di bawahnya ada tempurung. Di bawahnya ada katak menyorok (lebih kurang begitulah lagu Malique dan Jamal Abdillah)... pokok pangkal pengakuan hari ini ialah - saya sudah terlalu lama abaikan blog. Padahal menulis blog/membaca blog adalah salah satu hobi saya. Saya kira sudah lama tidak mencoretkan sebarang cerita. Alasan saya? Biasalah. Tidak perlulah saya terangkan. Sebenarnya ada banyak kerja tertangguh. Dan apabila tertangguh, jadi bertimpa-timpa apabila hari berganti hari.

Ini merupakan entri pertama saya untuk tahun 2012. Setelah 1/3 tahun barulah saya punya kekuatan untuk menulis disini. Alhamdulillah....semakin lama saya semakin dapat mebiasakan diri ditempat kerja baru setelah 8 tahun saya di Kluang, Johor. Pastinya tinggal bersama keluarga dan merantau di tempat orang setelah sekian lama merupakan sata pengalaman yang berbeza dalam hidup saya. Saya mulakan 2012 dengan satu azam,semangat baru dan penuh kegembiraan, bukan kerana gembira meninggalkan Kluang,apatah lagi meninggalkan rakan-rakan tersayang yang selama ini banyak mewarnai hidup saya... Ya Allah...terasa rindu ini semakin kuat. Apabila mengenangkan kembali tahun pertama saya merantau ditempat orang seorang diri, air mata saya mengalir kerana berasa terlalu kerdil, kerana merasakan bahawa saya ini tiada daya upaya, tiada kekuatan melainkan dari yang Esa. Kerinduan pada keluarga tersayang dan kesusahan dan yang diberi, memaksa kita kembali pada yang Esa. Dan itulah hikmah disebaliknya. Kalau bukan kerana air mata ini, kalau bukan kerana perasaan kerdil dan kesusasahan ini, mungkin pengharapan saya dan perasaan rendah hati itu hampir tiada. Pergantungan sepenuhnya kepada Allah sebagai Rabb tidak mencukupi… kerana secara fitrahnya manusia yakin Rabb (Allah, Tuhan) itu ada. Kalau dalam kesusahan, pasti terkeluar dari mulut mereka yang mendakwa tidak percaya kepada Tuhan sekalipun “Oh Tuhan tolonglah aku” Mempercayai Tuhan adalah fitrah manusia, jadi usah lari darinya. Malah Allah berfirma di dalam Al-Quran. Di surah Ankabut ayat 61, bahawa manusia yang kufur sekalipun ketika ditanya, siapa yang menciptakan bumi ini, mereka tetap akan menjawab Allah. Apa bezanya dengan kita ,jika kita percaya Allah mencipta bumi dan alam tetapi kita tidak ada keyakinan melebihi itu? Mempercayai Allah itu Illah kita ialah menyerah segalanya, mempercayai setiap urusan dan peristiwa yang berlaku, setiap duka dan tawa, setiap rezeki yang disekat atau dimurahkan, adalah sebahagian dari perancangan Allah untuk kita tanpa mempersoalkan dan mengeluh adalah asas Tauwid yang sebenarnya.

Bila dikenang kembali perjalanan hidup saya sebagai seorang guru. Saya memulakan tugas sebagai pendidik usai pengajian di UPM, Serdang. Sekolah pertama saya berkhidmat adalah SMK Tengku Aris BEndahara, Kluang selama 7 tahun. Walaupun saya pemegang Bacelor Perakauan dengan Pendidikan saya diberi tanggungjawab untuk mengajar subjek Pengajian Perniagaan. Awalnya saya rasa agak tidak yakin untuk mengajar subjek yang banyak dengan fakta, huraian dan contoh tetapi saya tidak kisah kerana ia masih dalam bidang pendidikan. Mungkin ada diantara mereka yang kurang memberi perhatian ketika saya mengajar tetapi saya anggap itu perkara biasa. Setiap guru pasti akan mengalami masalah yang sedemikian. mengajar pelajar yang sudah matang memang menyenangkan. Tetapi ada yang mencabar saya dengan soalan-soalan yang sukar dan saya tidak marah sebaliknya saya anggap itu satu cabaran untuk saya memberikan yang lebih baik. Saya anggap pengalaman itu sesuatu yang manis. Dalam masa yang sama, saya dapat belajar benda yang baru. Sekarang saya sudah tidak mengajar lagi subjek PENGAJIAN PERNIAGAAN. Oh Tuhan...saya benar-benar rindukan subjek ini yang sudah sebati dengan jiwa saya. Saya rindu nak mengajar menyediakan modul, latihan dan soalan ramalan untuk subjek ini. tapi saya sudah tidak dapat merasainya lagi. Apabila saya melihat di "Live Traffic Feed" masih ramai lagi pelajar-pelajar yang mahu mencari nota dan latihan Pengajian Perniagaan dan ini membuatkan saya terharu. Maafkan saya. Maafkan saya. Maafkan saya.Hanya setakat itu yang mampu saya.Ingin saya jelaskan disini,saya tidak lagi memperbaharui nota dan latihan PENGAJIAN PERNIAGAAN kerana kini saya bertugas di sekolah baru dan tidak lagi mengajar subjek ini dan sudah semestinya saya juga banyak terlibat dengan komitmen lain di sekolah baru tempat saya bertugas. Terima kasih kepada semua yang menghargai dan menggunakan nota dan latihan saya yang tidak seberapa, walaupun saya sedar masih banyak terdapat kelemahan dan kekurangan.

Kini saya bertugas di salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan di daerah Kulim. Di sini saya mengajar subjek ICTL. Makin lama saya makin suka ajar subjek ini.Sekurang-kurangnya saya dapat mebantu pelajar tentang penggunaan teknologi iaitu bagaimana cara meggunakan computer, internet, web dan sebagainya. Walaupun subjek ini merupakan subjek baru bagi saya tetapi sejak dahulu lagi, saya suka mencuba benda baru. Tidak kisahla mengajar subjek apa pun dan walaupun bukan opsyen saya yang pasti, saya memang suka mengajar dan itu sudah menjadi minat saya sejak dahulu lagi. Sebenarnya saya masih lagi cuba membiasakan diri di tempat baru. Semuanya serba baru bagi saya. Memang agak sukar, tapi saya yakin lambat laun saya pasti biasa dgn keadaan dan persekitaran di tempat baru saya.Berkenaan tentang diri saya,dari dulu sampai sekarang.... kalau saya suka orang, saya tak pergi pada dia... saya tengok dari jauh jer... sebab saya tak pandai berborak, tapi saya suka senyum... jadi, buat kengkawan baru disini... walau kita jarang cakap, tapi saya tetap sayang kamu semua :D. Saya sering mengingatkan diri saya hanya dengan senyuman, masalah boleh selesai ! Dasyat sungguh impak dari senyuman rupanya. Mulai saat ini, tebarkanlah senyuman kita kepada sesiapa sahaja kerana senyuman itu adalah sedekah. Berikanlah sebuah senyum yang penuh ketulusan, senyum yang benar-benar timbul dari hati kita. Seberat mana pun masalah yang kita hadapi, maka tetaplah tersenyum. Tetaplah tebarkan senyum kerana senyuman kita itu adalah ubat daripada kesedihan kita. Tertawalah dan tersenyumlah dengan wajar dan ketulusan. Bukan tertawa dan tersenyum seolah-olah menyindir atau bersikap sinis. Tertawa dan tersenyum jangan belebihan kerana terlalu banyak tertawa juga akan mematikan hati. Yakinlah bahawa Allah akan berikan petunjuk dan jalan mengatasi masalah. Tersenyumlah kerana itu adalah tanda keceriaan, bertitik tolak dari rasa suka dan kegembiraan. Tersenyumlah, kerana senyuman adalah kekuatan kita dan tersenyumlah kerana harapan masih ada.

Rasanya sampai disini sahaja saya menulis, mohan maaf andai terdapat kekurangan dan kekhilafan tanpa saya sedari. Saya sedar diri saya bukan siapa-siapa..bukannya insan bergelar,bukannya ustazah,apatah lagi alim ulama'..diri saya hanya insan biasa,seorang hambaNya,seorang guru kepada anak-anak muridku,seorang anak kepada ibubapaku,seorang muslimah yang dikelilingi saudara sedarah, seislam..Saya hanya menulis sekadar luahan seorang hamba,bukan meletak diri sayalah hebat,sayalah sempurna, sayalah yang benar..tapi saya sentiasa merasakan diri saya sentiasa dalam kekurangan..jangan dicela diri saya,andai diri tak sepertimana di penulisan ini. Saya insan yang lemah,menulis untuk pemangkin bagi seorang seperti saya,agar tidak alpa dan leka,agar tidak sombong dan bermegah2,malah, sentiasa membaiki dan memotivasi diri..menjadi hamba, guru, anak, muslimah yang beriman dan solehah..yang sentiasa berpegang pada tali ALLAh,yang menyanjung Rasul, Muhammad S.A.W,yang bersandar Al-Quran dan hadis..cuma saya mengharap hidup ini sentiasa dalam redha ILLAHI, sentiasa dibukakan hati untuk menerima nur RahmatNya,agar diri tidak terus tenggelam dalam dunia yang semakin 'jauh'..marilah sama2 kita cermin diri,muhasabah diri,dan merubah diri,agar hari ini lebih baik dari semalam..


Ikhlas,
Mariana Othman