Sunday, November 21, 2010

Pelajar dan STPM...Inilah Waktunya..

Semakin hari debaran untuk menghadapi peperiksaan itu semakin hampir. Semakin kuatlah degupan jantung para pelajar saya sekalian. Apa-apa yang berlaku dalam kehidupan mereka pasti dilihat dengan satu pandangan yang berbeza yakni semuanya pasti memberi kesan dalam persediaan STPM mereka. Inilah saat yang dinantikan oleh semua pelajar.

Perasaan tidak yakin atau berasa persediaan tidak cukup sememangnya sesuatu yang biasa. Perasaan gementar untuk menghadapi sesuatu yang sebegini besar kesannya dalam kehidupan pelajar seharusnya berlaku. Ingat lagi ketika pelajar semua mengambil peperiksaan UPSR dan PMR? Atau masih ingatkah pelajar peperiksaan SPM yang baru dua tahun berlalu itu? Dan bukankah perasaan gementar yang kini dihadapi turut meresap dalam jiwa pelajar?

Manusia sememangnya gementar menghadapi sesuatu yang baru.Memang kita sedia maklum betapa stressnya bila berdepan peperiksaan atau lebih tepatnya lagi, peperiksaan awam seperti STPM. Kekadang rasa nak give up, penat, tak tahan lama. Belajar dan terus belajar dengan sungguh-sungguh, tapi rasa nak give up tu masih terus tegar, kuat menggoda di minda sebab kita berdepan dengan sesuatu yang belum pasti. Jika anda sedang mengalami situasi di atas, itu tandanya fikiran negatif sedang menguasai diri anda.

Anda lupa apa impian anda dan anda dah tak ingat apa matlamat anda. Selain itu, anda kuat berusaha, tapi tak kuat seronokkan diri. Kesannya, anda jadi tertekan. Stamina mental anda menghilang, sebab minda anda jauh dari mengingat matlamat anda.

Mengimbas kembali ketika detik-detik saya menghadapi peperiksaan SPM tipulah jika saya katakan saya tidak stress, tidak gementar dan tidak takut langsung.Untuk kuat berdepan dengan semua situasi ini ketika menghadapi exam, saya beritahu diri saya sendiri biarlah saya kerja keras kali ni sebab saya akan bersuka ria bila exam tu dah habis. Jadi, kita balun hari ni,esok kita akan berhepi-hepi. Kita study betul-betul hari ni, nanti lepas paper habis, baru kita relaks betul-betul. Tidur ke, jenjalan ke, borak-borak ke, apa-apa sajalah yang kita mahu.

Sebenarnya, perkara yang hendak saya sampaikan ialah perasaan stress, takut atau gementar itu biasa sahaja dalam diri manusia ini. Sebagai manusia, pengalaman mengalami sesuatu itulah yang penting lalu berupaya menjadikan kita seorang individu yang lebih baik pada masa hadapan. Semakin banyak peperiksaan yang kita alami semakin yakin diri kita akan kemampuan diri untuk melakukan yang terbaik pula.Jadi, usah bimbang jika pelajar semua berasa gementar kerana perasaan itulah yang membuktikan bahawa anda semua manusia yang berani menghadapi cabaran baru dalam kehidupan anda.

Akhir kata, semoga berjaya buat semua pelajar-pelajar saya yang akan menduduki peperiksaan STPM 2010. Kami para guru di SMKTAB sentiasa mendoakan kejayaan anda semua...